Pencerobohan kapal asing: TLDM kerah kapal tambahan ke EEZ perairan Sabah, Sarawak

SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan sebuah kapal tambahan untuk memantau aktiviti di perairan Malaysia berikutan pencerobohan kapal asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di perairan Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata kapal itu adalah tambahan kepada dua lagi aset TLDM di Beting Patinggi Ali dan berhampiran terumbu Pulau Layang-Layang yang sentiasa diawasi 24 jam di sepanjang Laut China Selatan.

“Namun dengan perkembangan baharu ini (pencerobohan kapal asing), kapal ketiga dikerahkan ke kawasan sekitar untuk memantau sebarang pencerobohan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur di sini hari ini.

Menurut Sabri, kehadiran kapal asing di perairan Malaysia bukanlah perkara baharu, terutama yang menjalin usaha sama dengan Brunei kerana ia perlu melalui perairan Malaysia. Bagaimanapun, beliau berkata daripada pemerhatian TLDM, pergerakan kapal asing baru-baru ini adalah ‘lebih dari setakat lalu’ yang satu laporan telah dihantar kepada Kementerian Pertahanan yang kemudiannya turut dipanjangkan ke Wisma Putra.

Mengenai OSTEX Timur, Sabri berkata latihan selama 10 hari itu yang bermula 27 Sept turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, untuk meningkatkan kecekapan tentera laut dan bagi menguji keupayaan asetnya.

“Kebanyakan aset kami berusia lebih 40 tahun dan kami perlu mengujinya secara maksimum untuk melihat sama ada ia berkeupayaan tanpa mengalami kerosakan besar,” katanya.
Mengenai perkembangan pangkalan baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di sini, Sabri berkata TLDM masih menunggu pengambilalihan tanah seluas 2.2 hektar daripada kerajaan negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )