Pendaftaran Larian Maya Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang dibuka 22 Okt

GEORGE TOWN,. Larian Maya Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2021 yang bertema ‘A Run Towards Normalcy’ akan dibuka untuk pendaftaran pada 22 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin berkata larian maya itu, yang dijadualkan bermula pada 21 Nov (12 tengah malam) dan berakhir pada 20 Dis 2021 (11.59 malam), akan dibuka untuk rakyat Malaysia dan pelari maraton seluruh dunia di www.penangmarathon.gov.my, tanpa sebarang fi.

Beliau berkata terdapat tiga kategori cabaran baharu iaitu lima pasukan terbesar, 10 pelari dengan jarak paling jauh serta 10 pelari pertama yang mencapai jarak 100 kilometer (km), 300 km dan 500 km.

“Lima pasukan terbesar dari segi ahli akan diberikan piala. Setiap ahli (13 tahun dan ke atas) perlu mencatat minimum 5 km dalam satu aktiviti.

“Bagi 10 pelari dengan jarak paling jauh, 10 pelari bagi setiap jantina dengan jarak paling jauh dalam tempoh perlumbaan akan menerima pingat pencapaian khas. 10 pelari pertama bagi setiap jantina yang mencapai 100 kilometer (km), 300 km serta 500 km juga akan diberikan pingat khas dan pemenang berulang adalah dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Selain kategori baharu, Yeoh berkata tiga kategori konvensional akan berlangsung seperti biasa iaitu 10 km, 21 km (separa maraton) dan 42 km (maraton) dengan tambahan larian ria sejauh 5 km.

Beliau berkata pelari yang berminat menyertai kedua-dua acara perlu mendaftar secara berasingan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )