Pendaftaran pemilih automatik, undi 18 dijangka dilaksana selepas 1 Sept 2022

Pendaftaran pemilih automatik, undi 18 dijangka dilaksana selepas 1 Sept 2022

KUALA LUMPUR,. Pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 tahun (Undi18) dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022 ekoran pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal pelaksanaannya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

“Setelah menilai semula pelbagai kekangan, ia dijangkakan boleh dilaksanakan selepas tarikh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya, ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain yang berkaitan.

Abdul Ghani berkata berdasarkan rekod terkini SPR, jumlah warganegara berusia 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang, dan daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang.

“Seramai 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

“SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata SPR akan melancarkan sistem semakan prapendaftaran automatik melalui Portal SPR pada Ogos depan, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.

Katanya, SPR sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 yang dijangka dikeluarkan pada September ini. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)