Pendatang sanggup terjun paya untuk elak ditahan dalam Operasi Gempur Bersasar JIM

Pendatang sanggup terjun paya untuk elak ditahan dalam Operasi Gempur Bersasar JIM

KUALA LUMPUR,. Sanggup terjun ke dalam paya berlumpur demi meloloskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa antara tindakan nekad dilakukan pendatang asing tanpa izin ketika Operasi Gempur Bersasar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara, semalam.

Tindakan tersebut dilakukan dua lelaki warga Bangladesh semasa serbuan JIM di sebuah tapak pembinaan kondominium, di Jalan Kuching di ibu negara, namun berjaya dipatahkan.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata sebanyak 200 warga asing diperiksa dalam operasi bermula 10.30 pagi tadi, yang turut dijalankan serentak di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan itu, 60 pendatang asing tanpa izin ditahan terdiri daripada 41 lelaki warga Bangladesh, 17 warga Indonesia termasuk dua wanita serta masing-masing seorang lelaki Myanmar dan India berumur 25 hingga 50 tahun, yang kesemuanya dipercayai bekerja sebagai buruh binaan,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan.

Wan Mohammed berkata seorang majikan warga tempatan turut ditahan kerana dipercayai menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Di KELANTAN, seorang wanita Indonesia bersama bayi berusia sebulan antara 91 pendatang asing tanpa izin yang ditahan semasa operasi di tapak pembinaan pangsapuri 42 tingkat di Kubang Kerian.

Wanita tersebut datang dari Padang, Indonesia bagi menemani suaminya yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan tersebut, bersama bayi yang dilahirkan di Kelantan bulan lepas.

Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata kesemua warga asing yang ditahan itu adalah dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan India.

Di TERENGGANU, JIM negeri menahan 39 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 35 warga Bangladesh, Indonesia (3) dan Pakistan (seorang) yang berusia antara 30-an hingga 50-an dalam operasi sama di daerah Kemaman.

Pengarahnya Mohd Yusri Mohd Nor berkata ia hasil pemeriksaan ke atas 118 warga asing dan tempatan di kawasan tapak pembinaan Bandar Baharu Kijal.

Di LABUAN, 20 warga asing berusia lingkungan 15 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi melibatkan 32 anggota daripada JIM Labuan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara di tapak pembinaan di Jalan Patau-Patau.

Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai berkata mereka yang ditahan termasuk seorang wanita warga Filipina serta seorang warga Indonesia dan kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 39(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Di PAHANG, Pengarah JIM negeri Nursafariza Ihsan memaklumkan pihaknya menahan 35 pendatang asing tanpa izin melibatkan warga Bangladesh dan Indonesia berusia antara 20-an dan 40-an dalam operasi di kawasan sektor pembinaan di Raub.

“Mereka adalah sebahagian daripada 85 orang yang diperiksa dan kesemua yang ditahan kerana melanggar syarat pas itu akan ditempatkan di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Semua pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam Operasi Gempur Bersasar di seluruh negara disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Di PERAK, sebanyak 141 warga asing diperiksa dan 92 orang daripadanya ditahan dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Bercham, Ipoh.

Pengarah JIM Perak James Lee berkata kesemua yang ditahan hasil pemantauan dan risikan itu, berusia antara 20 hingga 50 tahun melibatkan 91 lelaki dan seorang perempuan.

“Warga asing yang ditahan tersebut terdiri daripada 66 warga Bangladesh, Indonesia (12), Myanmar (empat), Nepal (sembilan) dan Pakistan (seorang).

“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya melalui kenyataan.

Di Cyberjaya,Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata seramai 129 pekerja warga asing berusia antara 25 hingga 50 tahun, terdiri daripada rakyat Indonesia, Myanmar, Vietnam, dan Bangladesh, ditahan.

Katanya kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa daripada tempoh pas, penyalahgunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), serta bekerja tanpa pas yang sah.

Jafri menegaskan tindakan akan diambil terhadap majikan dan penyelia tapak pembinaan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah di bawah Akta Imigresen 1959/63, khususnya Seksyen 55B (menggaji pekerja asing tanpa izin) dan Seksyen 56(1)(d) (melindungi pekerja asing tanpa izin).

“Jabatan Imigresen tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti penggantungan kelulusan kuota pekerja atau tindakan undang-undang sivil terhadap syarikat yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Di Kedah, JIM menahan 64 pekerja asing, terdiri daripada rakyat Myanmar, Indonesia, dan Bangladesh, berusia antara 18 hingga 40 tahun di Changlun dan Kuala Kedah.

Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tinggal tanpa pas sah atau melebihi tempoh sah, serta penyalahgunaan pas.

“Beberapa majikan didapati kurang pengetahuan mengenai proses permohonan imigresen serta pengurusan dokumen pekerja asing yang tidak teratur,” jelasnya. Beliau turut memberi amaran bahawa kesalahan ini boleh menyebabkan kompaun atau denda yang tinggi terhadap majikan yang terlibat.

Sementara itu, di Seremban, seramai 102 pekerja asing ditahan di tapak pembinaan sekitar Bukit Kapayang Rasah.

Pengarah JIM Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang berkata 93 lelaki dan sembilan wanita yang ditahan berusia antara 13 hingga 55 tahun terdiri daripada warga Indonesia (55), Pakistan (1), Bangladesh (29), dan Myanmar (17).

Katanya kesemua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Nilai untuk siasatan lanjut.

Di Selangor, seramai 62 pekerja asing ditahan di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 13, Shah Alam.

Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pendatang asing yang ditahan terdiri daripada 60 lelaki dan dua wanita dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Pakistan, berumur antara 23 hingga 44 tahun.

Katanya siasatan mendapati pendatang asing itu telah bekerja lebih daripada enam bulan di tapak pembinaan tersebut dan dokumen mereka berada dalam simpanan majikan.

Beliau berkata warga asing tersebut turut mendakwa masuk ke negara ini melalui Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kesemua mereka dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih.

Di Pulau Pinang, seramai 16 pekerja asing ditahan di dua tapak pembinaan kilang di Bertam dan Bayan Lepas.

Pengarah Imigresen negeri Nur Zulfa Ibrahim berkata mereka yang ditahan terdiri daripada enam warga Myanmar, lima Bangladesh, dua China serta masing-masing seorang warga Singapura, India dan Pakistan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This