Pendekatan bercerita, kesan kepada psikologi anak-anak

KUCHING: Bercerita kepada anak-anak mampu memberikan impak yang besar kepada mereka, baik secara langsung mahupun tidak langsung yang mana ini juga termasuklah kepada perkembangan psikologi mereka.

Maka, ibu bapa haruslah menggunakan peluang ini dalam membentuk psikologi yang sihat kepada anak-anak.

Timbalan Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM), ISMA Samarahan, Nazirah Bol berkata, sebagai contoh ibu bapa boleh menceritakan tentang kepayahan kanak-kanak di Palestin, yang sukar untuk mendapatkan makanan.

Katanya, melalui kisah tersebut anak-anak akan belajar untuk tidak membazir makanan, suka berkongsi, juga akan ada kesedaran untuk bersedekah kepada yang memerlukan. “Cerita yang disampaikan kepada anak-anak akan dapat menanam nilai dan mesej penting buat bekalan kehidupan mereka pada masa akan datang.

“Stanford Graduate School of Business, sebuah pusat kajian di Amerika pernah membuat kajian mengenai keberkesanan bercerita dan mendapati bahawa manusia mampu mengingati sesuatu mesej yang disampaikan melalui penceritaan, sebanyak 22 kali lebih kuat berbanding fakta,” katanya.

Merujuk kepada tulisan Dr. Rozanizam Zakaria dalam buku beliau yang bertajuk Psikologi Si kecil, kanak-kanak juga menunjukkan bahawa, bercerita penting kepada mereka dari beberapa sudut.

Perkembangan Bahasa

Dalam pada itu, Nazirah memberitahu, perkembangan bahasa kanak-kanak sangat berkait rapat dengan jenis penceritaan yang didedahkan kepada mereka.

Sebagai contoh jelasnya, anak-anak akan meniru gaya percakapan kartun atau rancangan yang mereka sering tonton dikaca televisyen atau gajet.

“Andai kata, rancangan yang mereka selalu tonton adalah kartun ‘Upin dan Ipin’, maka gaya percakapan mereka juga akan terikut seperti mana percakapan karakter yang terdapat dalam cerita tersebut.

“Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memilih rancangan yang sesuai untuk ditonton kepada anak-anak untuk perkembangan bahasa mereka,” ujarnya.

Kekuatan memori

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, manusia mampu mengingat sesuatu perkara melalui penceritaan, lebih lama berbanding dengan hanya didedahkan dengan fakta.

“Maka, sekiranya kita ingin anak-anak untuk lebih mengingati sesuatu, berceritalah kepada mereka. Saya pernah bercerita dan tunjukkan kepada anak-anak tempat saya pernah menuntut ilmu, bermula dari sekolah rendah hinggalah universiti.

“Saya sungguh teruja apabila anak-anak masih ingat dan setiap kali melalui kawasan tersebut, mereka akan memberitahu bahawa itulah tempat saya pernah belajar dahulu,” ujar Nazirah.

Demikian besarnya impak bercerita kepada kekuatan memori anak-anak.

Perkembangan emosi

Bagaimana bercerita boleh mempengaruhi perkembangan emosi kanak-kanak?

“Saya kongsikan kisah anak saya sendiri, di mana kami pernah menonton siri Omar dan Hana yang mengisahkan tentang keterujaan Omar untuk bertemu datuknya sempena hari jadi beliau,” kongsi Nazirah.

Namun, katanya, dalam episod tersebut Omar tidak sempat bertemu datuknya apabila datuknya telah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat Omar memberikan kek kepadanya. Ketika menonton siri ini, anak-anak saya turut menangis kerana sedih.

Beliau memberitahu melalui pendekatan ini juga, anak-anaknya akan berkongsi makanan kepada adik-adik juga kepadanya setiap kali mereka makan.

Tegasnya, inilah pentingnya perkembangan emosi anak-anak melalui penceritaan.

“Menyediakan ruang mereka ‘escape their world’

Selain itu, anak-anak saya juga sangat suka aktiviti bercerita sambil bermain bayang-bayang.

“Sebelum tidur, lampu akan ditutup dan lampu suluh telefon bimbit akan dibuka. Maka anak-anak akan bebas bercerita, berimaginasi dengan bayang-bayang yang terhasil,” tambahnya.

Aktiviti bercerita dengan bayang-bayang ini akan menyediakan ruang mereka ‘escape their world’.

Jangan terkejut akan terhasil pelbagai cerita-cerita di luar imaginasi kita yang terhasil daripada aktiviti ini. Ia sangat mengujakan!

Justeru itu, teknik bercerita banyak dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran untuk memberi pedoman dan teladan buat kita.

“Kita boleh cuba berusaha untuk membentuk nilai dalam diri kanak-kanak dengan membawakan teknik bercerita kepada mereka.

“Anak-anak umpama kain putih, maka ibu bapa lah yang akan mencorakkan kain putih tersebut.

“Oleh demikian, gunakanlah masa emas usia kanak-kanak untuk kita membentuk keperibadian dan jati diri mereka dengan cerita-cerita yang memberi nilai positif bukannya dengan membiarkan mereka dengan cerita-cerita yang memberi nilai negatif,” katanya lagi.

Sumbangan – Norlia Salleh

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )