Pendigitalan normal baharu bantu usahawan kekal berdaya saing, mampan — Azmin

Pendigitalan normal baharu bantu usahawan kekal berdaya saing, mampan — Azmin

KUALA LUMPUR, 1 Mei  —  Pendigitalan adalah langkah yang perlu diambil oleh usahawan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing dan kekal mampan dalam persekitaran normal baharu di mana tenaga kerja terpaksa berdepan dengan pelbagai impak pandemik COVID-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat bahawa dalam situasi ini tenaga kerja di Malaysia amat cepat menyesuaikan diri dengan keperluan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, dalam berhadapan dengan cabaran ini, pekerja dan majikan telah berjaya meningkatkan penggunaan teknologi digital demi memudahcara tugasan dan ini telah meninggikan produktiviti serta keberkesanan proses.

“Perubahan ini juga melambangkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang maju dan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang menekankan kemampanan dalam pekerjaan, kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup dan kerjasama strategik,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja Tahun 2020, yang dikeluarkan hari ini.

Mohamed Azmin berkata kedudukan daya saing ekonomi Malaysia bergantung kepada usaha untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran pekerja

Justeru, majikan perlu mengambil inisiatif untuk sentiasa memberi latihan yang terbaik bagi meningkatkan kepakaran pekerja.

“Dalam konteks sekarang, penekanan juga perlu diberikan dalam kebersihan diri, pelaksanaan penjarakan sosial dan lain-lain amalan kesihatan semasa melakukan tugas,” katanya.

Menurutnya, perubahan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti tenaga kerja, tetapi mampu mengembangkan syarikat menjadi sebuah entiti yang mahir dalam aktiviti e-dagang.

“Tidak dapat disangkal lagi pendigitalan adalah langkah yang mesti diambil oleh usahawan tempatan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing di dalam persekitaran normal baharu ini.

“Saya melihat ini sebagai waktu yang paling baik untuk kita memberi sepenuh fokus kepada pengaplikasian teknologi dan penciptaan inovasi  untuk dijadikan pemangkin cara pemikiran dan pekerjaan kita,” katanya.

Normal baharu ini juga, katanya, membuka ruang dan mengalakkan sesi bekerja melalui atas talian dari kediaman masing-masing.

“Saya percaya dengan perkembangan ini, syarikat-syarikat dari segenap sektor ekonomi negara akan mengubah cara mereka bekerja pada masa hadapan dan akan memberi fokus kepada kepentingan mencapai keseimbangan dalam produktiviti dan kehidupan berkeluarga.

“Saya pasti, syarikat-syarikat Malaysia juga akan menambah nilai kepada pengalaman bekerja mereka semasa PKP ini pada masa hadapan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, MITI ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada lebih daripada 15 juta pekerja termasuk 1.4 juta rakyat yang bekerja sendiri,  yang telah berganding bahu dengan Kerajaan untuk menangani COVID-19.

“Sambutan Hari Pekerja ini adalah untuk menghargai titik peluh dan perjuangan golongan pekerja yang telah menyumbang ke arah kemakmuran bersama,”ujarnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)