Penduduk Kampung Apal risau banjir berulang
BESUT,. Meskipun air telah surut sepenuhnya dan penduduk Kampung Apal dekat Jabi di sini, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi, namun mereka masih risau akan kemungkinan banjir ‘berulang’, dalam masa terdekat ini.
Halimah Ablah, 66, berkata kebiasaannya kampung tersebut yang terletak di kawasan agak rendah akan dilanda banjir sekurang-kurangnya tiga kali setiap tahun pada musim tengkujuh.
“Kejadian banjir semalam agak ‘pelik’ kerana air naik dengan mendadak dan surut pun dengan begitu cepat. Kalau ikut firasat orang-orang tua banjir akan berulang malah akan lebih besar lagi. Tetapi makcik harap ia tidak berlaku,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Apal dekat Jabi, di sini hari ini.
Halimah berkata hujan lebat yang turun sejak petang semalam menyebabkan sebahagian rumahnya dinaiki air sehingga ke paras lutut bermula kira-kira 7.30 malam.
Katanya, banjir yang berlaku petang semalam adalah kali kedua dengan yang pertama berlaku hujung November lepas dan menjangkakan kejadian banjir di kawasan itu boleh berulang.
Namun, warga emas itu enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Apal kerana tidak dapat menaiki tangga ke tingkat atas dewan tersebut yang menempatkan mangsa banjir, kerana menghidap ‘slipped disc’.
“Bilik tidur makcik pun dimasuki air. Jadi makcik hanya duduk di atas katil semalaman sehingga air surut pada pukul 3 pagi. Hanya cucu (Solehah Nurhisham,13) yang menemani makcik dan anak (Lili Suziana Ismail, 33) berulang kali datang menjenguk dan menghantar makanan,” katanya yang telah lebih 30 tahun tinggal di kampung itu.
Sementara itu, Ruslida Abd Rahman, 41, berkata sudah menjadi kebiasaan buat beliau sekeluarga mengemas berulang kali kerana kebiasaannya rumahnya akan dinaiki air sebanyak empat kali setahun pada musim tengkujuh.
“Memang lah penat …musim tengkujuh ini kami kena banyak bersabar,” katanya menambah kejadian banjir petang semalam sangat tidak dijangka kerana air naik dengan mendadak walaupun hujan hanya dua dan tiga jam.
“Memang saya telah berkemas dan meletakkan barang rumah di tempat tinggi namun tidak sangka banjir secepat ini menyebabkan tikar getah dan karpet ditenggelami air dan mesin basuh juga rosak,” katanya.
— BERNAMA