Penduduk Medan 88 sila serah diri atau ditahan polis – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR,. Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang masih dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Rabu lepas diminta tampil menyerah diri serta-merta atau akan ditangkap polis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka diminta kembali ke kawasan berkenaan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah memutuskan rantaian wabak itu.

“Kami tidak kisah sama ada mereka lari atau takut hendak balik (kerana Medan 88 dikenakan PKPD), apa yang penting mereka ini menyerah diri dan kami akan tangkap mana-mana majikan yang bersubahat melarikan mereka.

“Selain itu, kami hendak mereka balik supaya penduduk di kawasan itu boleh membuat ujian saringan COVID-19 dan mengetahui status kesihatan mereka agar ia tidak menjangkiti orang lain,” katanya selepas program Ruang Bicara Bernama TV : “Belanjawan 2021 : Memperkasa Pertahanan”, di sini JUmaat malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penduduk Medan 88 yang dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan PKPD.

“Saya risau sekiranya mereka keluar dan pergi ke tempat lain lalu menjangkiti orang lain dengan COVID-19, maka ia akan menjadi lebih sukar untuk memutuskan rantaian wabak ini. Jika ada daripada mereka yang telah balik, alhamdulillah, yang mana belum balik jangan sampai kena tangkap,” katanya.

Pada 12 Okt lepas, Bernama melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam sidang media berkata Polis Diraja Malaysia sedang mengesan individu yang melarikan diri berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lokasi pekerja yang tidak pulang daripada majikan dan rakan-rakan sekerja mereka yang terbabit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )