Penduduk Rantau mohon masalah banjir diatasi, elak kerugian

SEREMBAN,. Penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Rantau memohon agar Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak berwajib menangani masalah itu dengan segera bagi mengelak mereka terus mengalami kerugian.

Pesara swasta, Zainah A. Karim, 55, berkata beliau kerugian hampir RM5,000 dalam kejadian banjir yang berlaku pada 22 September lepas dan kini terpaksa mengharunginya sekali lagi.

“Saya sudah letih dengan banjir ini dan saya juga belum lagi sempat menyusun serta mengemas barang-barang di rumah selepas pulang dari Pusat Penempatan Sementara (PPS) pada Rabu minggu lepas.

“Hari ini kejadian sama berlaku dan sekali lagi saya terpaksa berpindah. Saya harap masalah ini dapat di-selesaikan segera,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Peniaga, Norlela Said, 51, ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sega Hilir, berkata pengalaman minggu lepas ketika berdepan bencana banjir menyebabkan beliau melakukan persiapan awal sebaik menyedari hujan lebat pada jam 1 pagi semalam.

“Saya tidak tidur sepan-jang malam kerana berjaga-jaga, bimbang rumah dinaiki air dan saya juga mula mengangkat barang ke tempat lebih tinggi untuk menyelamatkan harta benda bagi mengelak terus kerugian dan sangkaan saya tepat apabila pada 5.30 pagi, rumah mula dinaiki air sehingga paras lutut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim yang meninjau lokasi kejadian berkata hujan lebat berterusan di sekitar Seremban bermula pada tengah malam sehingga awal pagi semalam telah mengakibatkan limpahan air di Sungai Linggi sekali gus menyebabkan beberapa rumah di kawasan rendah dinaiki air.

Beliau berkata limpahan air sungai serta hujan lebat telah menyebabkan tiga kampung iaitu Kampung Sega Hilir, Kampung Pasir dan Kampung Siliau dinaiki air setinggi kira-kira 1.21 meter.

“Berkenaan tindakan untuk mengatasi masalah ini, kita melalui perbincangan dengan pihak Pejabat Daerah Seremban dan Jabatan Pengairan dan Saliran sedang merancang untuk menyelesaikannya,” katanya.

Sehingga 4 petang, jumlah mangsa banjir me-ningkat kepada 50 orang membabitkan 15 keluarga berbanding 40 orang daripada lapan keluarga pagi tadi, dan kesemua mereka ditempatkan di PPS SK Sega Hilir.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )