Penduduk Rembau harap Khairy dapat tarik minat anak muda terhadap sains

Penduduk Rembau harap Khairy dapat tarik minat anak muda terhadap sains

REMBAU,. Penduduk di Parlimen Rembau menzahirkan rasa gembira atas pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan berharap beliau dapat menumpukan usaha dalam menarik minat golongan muda kepada bidang berkenaan.

Menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan memiliki wawasan, Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, Nurannes Nadia Roslan, 22, berkata beliau turut berharap lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta dalam bidang berkenaan.
“Selain itu, saya juga berharap supaya pelajar sekolah diberikan pendedahan awal dengan lebih mendalam mengenai bidang sains dan teknologi sekali gus dapat menguasai penggunaan teknologi dan inovasi pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.

Pelajar Institut Latihan Perindustrian Pedas, Nyam Wan Long, 22, berkata dengan pengalaman luas serta aura yang dimiliki ahli Parlimen Rembau itu diyakini akan dapat meningkatkan lagi minat rakyat di negara ini untuk mendalami ilmu sains, teknologi dan inovasi serta melahirkan mereka yang berfikiran kreatif dan inovatif pada masa hadapan.
“Khairy Jamaluddin sebelum ini banyak memberi sumbangan semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan dan beliau juga berjaya mengendalikan banyak isu-isu sukan dengan baik.

“Menerusi ketokohan dan pengalaman beliau itu, saya mengharapkan beliau dapat memberi kejayaan menerusi perancangan baharu semasa menerajui kementerian berkenaan,” katanya.

Pada Selasa, kesemua 31 menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya.

Ia susulan pengumuman pembentukan Kabinet baharu pada Isnin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)