
Penerbangan dan Destinasi Baharu Lonjak Trafik Udara 2024 – MAHB
21 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Pertumbuhan sektor penerbangan Malaysia pada 2024 terus kukuh dengan penambahan 12 syarikat penerbangan baharu, 16 laluan yang disambung semula, dan 24 destinasi baharu, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
KLIA kekal sebagai hab utama dengan kehadiran syarikat penerbangan seperti Air Macau, Iraqi Airways, AirAsia Cambodia, dan Turkmenistan Airlines. Destinasi baharu termasuk Almaty, Nairobi, Jaipur, dan Labuan Bajo turut memperluaskan rangkaian penerbangan Malaysia.
MAHB kini menghubungkan 138 destinasi antarabangsa dan 31 domestik melalui 73 syarikat penerbangan asing dan enam tempatan. Pada 2024, pergerakan penumpang mencatat lebih 135 juta, mencecah 96.1 peratus daripada tahap sebelum pandemik pada 2019.
“Lapangan terbang Malaysia mengendalikan 93.8 juta penumpang, dengan trafik antarabangsa mencapai 49.6 juta atau 93.1 peratus daripada paras 2019, meskipun cabaran seperti kelewatan pesawat,” jelas MAHB.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Turkiye turut menyumbang kepada pertumbuhan dengan 41.9 juta penumpang, meningkat 16.7 peratus berbanding 2019.
Melangkah ke 2025, MAHB menyasarkan tambahan 10 syarikat penerbangan baharu dengan fokus kepada pasaran Asia dan Eropah sebagai persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami komited untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa dan memberikan pengalaman penerbangan terbaik,” kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani.