Penerbangan laluan KL-Brisbane digantung di bawah pelan rasionalisasi Malaysia Airlines

Penerbangan laluan KL-Brisbane digantung di bawah pelan rasionalisasi Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines akan menggantung penerbangan laluan Kuala Lumpur-Brisbane berkuat kuasa 27 Mac 2023 di bawah proses rasionalisasi laluan yang akan dijalankan pada suku pertama tahun depan sebagai sebahagian daripada kajian terhadap perniagaannya yang sedang berjalan sekarang.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini berkata operasi penerbangan tanpa henti antara Kuala Lumpur ke empat destinasi Australia sedia ada lain iaitu Adelaide, Sydney, Perth, dan Melbourne akan diteruskan tanpa sebarang perubahan, menyediakan sehingga 43 perkhidmatan penerbangan terus dalam seminggu antara Australia dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Izham Ismail berkata syarikat penerbangan itu telah membuat keputusan sukar untuk menggantung operasinya ke Brisbane bagi memastikan ia dapat beroperasi dan menggunakan armadanya pada tahap optimum serta memaksimumkan hasil bagi setiap laluan penerbangan ketika menghadapi cabaran daripada kenaikan dalam kos bahan api, pertukaran asing dan kadar faedah.

Beliau juga berkata tempahan untuk bandar raya Australia yang lain adalah sangat menggalakkan dengan permintaan yang kukuh sehingga dan selepas suku pertama 2023 dengan jumlah tempahan jauh melebihi daripada tempoh yang sama pada 2019.

“Kami kekal fokus untuk meningkatkan rangkaian kami untuk mencapai pemulihan sepenuhnya menjelang tahun 2024.

“Setakat ini, kami telah menggunakan kapasiti pada 76 peratus sehingga kini dan menjangkakan menamatkan tahun ini dengan kapasiti 82 peratus tahap prapandemik di seluruh rangkaian tetapi Australia telah pulih lebih cepat, ia tidak termasuk penggantungan penerbangan laluan Brisbane. Rangkaian Australia Malaysia Airlines akan berada pada kapasiti 98 peratus tahap prapandemik menjelang Mac 2023,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata pelanggan yang mengembara ke Brisbane boleh memanfaatkan perkongsian kodnya dan rakan kongsi oneworld Qantas dan menyambung dari Sydney dan Melbourne ke Brisbane selepas penggantungan penerbangan terus Kuala Lumpur-Brisbane.

“Malaysia Airlines terus mengekalkan kesalinghubungan yang stabil antara Malaysia dan Australia dan membina semula trafik antara kedua-dua negara dengan pantas untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyokong perniagaan dan perdagangan,” kata Malaysia Airlines.

Penerbangan terakhir penerbangan laluan tersebut akan berlepas dari Brisbane ke Kuala Lumpur pada 26 Mac 2023 melalui pesawat MH134.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)