Pengalihan air Sungai Ichat akan dijalankan untuk salur air bersih

Pengalihan air Sungai Ichat akan dijalankan untuk salur air bersih

CAMERON HIGHLANDS, 7 Sept — Kerajaan Negeri Pahang akan menjalankan kerja pengalihan air Sungai Ichat untuk memastikan hanya air yang bersih dapat disalurkan ke muka sauk Loji Air Kuala Terla, di sini.

Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata pada masa sama usaha tersebut juga dapat memastikan kuantiti bekalan air yang diperlukan untuk penduduk tanah tinggi itu mencukupi.

“Keperluan air di Cameron Highlands adalah sebanyak 800 meter padu sejam, namun ketika ini Loji Air Kuala Terla hanya mampu mengeluarkan kira-kira 500 meter padu sejam,” katanya Bernama ketika ditemui selepas tinjauan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di tapak pencerobohan tanah di Sungai Ichat di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Norol Azali berkata bagi memastikan air bersih dapat disalurkan dari Sungai Ichat, kerajaan negeri telah melaksanakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan haram sejak enam bulan lepas. “Diharapkan usaha ini dapat membantu untuk memulihkan sumber bekalan air kepada penduduk Cameron Highlands pada masa akan datang.

“Walaupun penguatkuasaan dan usaha pemulihan dijalankan sejak enam bulan lalu, kita masih mengesan tanda-tanda kewujudan penerokaan haram jadi semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memulihkan sumber bekalan air di sini kerana air masih kotor,” katanya.

Sehubungan itu, Norol Azali berharap semua pihak dapat bekerjasama bagi memastikan usaha memulihkan semula kawasan Sungai Ichat yang telah diceroboh dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam penguatkuasaan fasa pertama dari 25 Feb hingga Mac lepas, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dilaporkan bertindak meroboh struktur di 11 kawasan kebun di mukim itu.

Tindakan penguatkuasaan fasa kedua pula dilaporkan dilaksanakan di 50 kebun membabitkan keluasan 80 hektar atas alasan melanggar syarat tanah lesen pendudukan sementara (TOL) dan menggunakan bahan kimia terlarang sehingga mencemarkan sungai.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )