Penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat tidak boleh acah-acah jadi mangsa – Saifuddin Nasution

Penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat tidak boleh acah-acah jadi mangsa – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA,. Penganjur “Himpunan Selamatkan Rakyat” tidak perlu memainkan naratif seolah-olah menjadi mangsa apabila dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis susulan perhimpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menerusi akta berkenaan penganjur perlu memaklumkan kepada polis untuk mengadakan perhimpunan namun penganjur gagal melakukan perkara itu.

“Adalah menjadi tanggungjawab penganjur untuk memaklumkan kepada polis dan jika tidak maklum dan ini mengundang kepada tindakan polis untuk memanggil penganjur (beri keterangan).

Penganjur tidak boleh acah-acah jadi mangsa kerana keengganan mereka untuk memaklumkan perkara yang paling asas,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata tidak timbul isu bahawa Kerajaan MADANI menghalang rakyat untuk mengadakan perhimpunan kerana sebanyak 78 permohonan untuk berhimpun telah dibenarkan setelah kesemuanya mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 sepanjang tahun lepas dengan kertas siasatan dibuka tanpa ada pertuduhan di mahkamah.

Selain itu, Saifuddin berkata pihaknya memandang serius tindakan pihak yang “mengheret” nama institusi istana dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak istana beberapa jam sebelum perhimpunan itu diadakan susulan dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap beberapa individu untuk masuk ke istana bagi menyerahkan dokumen berkaitan perhimpunan terbabit.
“Ini perbuatan mengheret sama institusi istana dalam perhimpunan yang tidak dimaklumkan kepada polis dan mendorong pihak istana membuat laporan.

Apabila pendekatan siasatan dibuat, ia lebih kepada teguran dan nasihat dan apabila melampaui batas seperti mengheret institusi istana, saya percaya tindakan sewajarnya akan dilakukan polis,” katanya.

Saifudin berkata satu pasukan khas akan menyiasat perkara terbabit dalam tempoh tujuh hari sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Himpunan Selamatkan Rakyat yang diadakan di Pintu 2 Istana Negara semalam dianjurkan oleh sekretariat Pembela Tanah Air (Peta) dan turut dihadiri kira-kira 700 penyokong sebuah parti politik, badan bukan kerajaan dan orang awam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata empat individu menyerahkan memorandum kepada Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara pada perhimpunan itu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata penganjur perhimpunan berkenaan dikenal pasti dan akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat.

Allaudeen berkata pihaknya turut menerima laporan daripada pihak istana semalam berhubung dakwaan Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard bahawa tiga wakil Perikatan Nasional (PN) telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat dan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)