Penganugerahan kewarganegaraan hak eksklusif kerajaan – Mohd Azis

KUALA LUMPUR,. Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada sesiapa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menegaskan, ia sekali gus menafikan dakwaan kerajaan memudahkan untuk memberi taraf kewarganegaraan kepada pelancong-pelancong dari China dan Hong Kong seperti yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen.

Pertimbangan terhadap permohonan kewarganegaraan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, kesahtarafan anak, peraturan imigresen dan lain-lain,” katanya.

Azis berkata demikian ketika menjawab soalan Awang Solahudin Hashim (Pas- Pendang) mengenai syarat-syarat permohonan rakyat asing yang mahu menjadi warganegara Malaysia dan dakwaaan bahawa Kerajaan telah memudahkan untuk memberi taraf warganegara kepada pelancong-pelancong yang datang dari tanah besar China dan Hong Kong.

Dalam pada itu, Azis menegaskan, kementeriannya juga mengambil maklum dakwaan “Terdapat 200 Ribu Penerima Sijil Kewarganegaraan Baru Ikrar Sedia Balas Budi Kerajaan PH” yang tular di media sosial “Facebook” dan “Twitter” oleh individu bernama Tengku Raja Alam Shah.

“Sehubungan dengan itu, satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh KDN bagi menafikan dakwaan tersebut dan meminta pihak yang bertanggungjawab tampil membuktikan dakwaan tersebut adalah sahih dan bukan bersifat tohmahan semata-mata.

“KDN melalui JPN memandang serius mengenai perkara ini dan satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pengarah JPN sendiri pada 29 September 2019 di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya agar siasatan dapat dilakukan terhadap pemilik akaun media sosial tersebut,” jelasnya lagi.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )