Pengawal selia digesa wujudkan persekitaran yang menyokong kewangan Islam

Pengawal selia digesa wujudkan persekitaran yang menyokong kewangan Islam

KUALA LUMPUR,. Pengawal selia perlu mewujudkan persekitaran yang menyokong industri kewangan Islam untuk meningkatkan lagi industri ini.

Ahli Lembaga Eksekutif untuk Pelaburan Asing dan Hubungan Antarabangsa Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) Indonesia, Dr Hurriyah El Islamy, berkata industri kewangan Islam perlu menjadikannya kurang rumit untuk rakyat melakukan urus niaga menggunakan platform Islam.

“Ini akan memudahkan orang ramai. Hanya berkongsi satu insiden: semasa kami menawarkan untuk menghasilkan struktur sukuk iaitu syarikat akan mempunyai keuntungan kewangan yang lebih baik, syarikat itu memilih untuk mengambil pinjaman konvensional dengan alasan strukturnya terlalu rumit,” katanya pada perbincangan panel secara maya yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pelaburan Lembaga Tabung Haji Mohamad Damshal Awang Damit, hari ini.

Perbincangan panel itu diadakan pada Forum Kewangan Islam Global 2020 anjuran Bloomberg hari ini. BPKH adalah institusi yang menguruskan kewangan haji di Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pelaburan Bank Islam Investment Management Abdul Razak Salimin berkata pasaran saham didorong oleh mudah tunai berbanding ekonomi sebenar.

Lonjakan dalam pasaran saham didorong oleh mudah tunai yang mencukupi, terutamanya apabila moratorium pinjaman secara menyeluruh diperluaskan kepada rakyat Malaysia untuk menangani impak daripada pandemik COVID-19 pada awal tahun ini, katanya.

Abdul Razak berkata pada permulaan pandemik pada Mac tahun ini, pasaran saham merosot hampir 30 peratus untuk Malaysia dan lebih 30 peratus untuk pasaran saham global tetapi cepat pulih berikutan peserta pasaran cenderung untuk melihat lebih daripada enam bulan.

Beliau berkata pasaran sukuk dan bon juga pulih, walaupun ekonomi sebenar lemah.

“Terdapat banyak sebab pasaran saham terus meningkat tanpa mengira apa yang berlaku dalam ekonomi sebenar. Aspek terbesar ialah mudah tunai yang banyak dalam pasaran.

“Bagi Malaysia, kita telah diberikan moratorium pinjaman dari April hingga September. Ke mana wang itu disalurkan? Ia berada di mana-mana dan antaranya ialah pasaran saham,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Asset Management Noor Aini Shaik Awab berkata pendidikan pelabur penting untuk menghalang pelabur daripada membuat keputusan yang salah ketika melabur, terutamanya dengan transformasi pendigitalan dan akses yang mudah kepada akaun untuk tujuan pelaburan.

“Jika pendidikan pelabur tidak diberi penekanan, pelabur cenderung untuk berfikir bahawa mereka kini mempunyai mudah tunai dan mereka hanya meletakkannya dalam pasaran saham, tanpa melihat kepada asas syarikat dan status ekonomi pada masa ini,” katanya.

Noor Aini berkata pelabur muda lebih berani untuk menceburkan diri dalam pasaran saham, sama ada di Malaysia atau di luar negara.

“Ini adalah bidang yang kami, pengurus dana bimbang. Selain itu, saya fikir (dengan) pendigitalan, ramai golongan milenial menggunakan e-dompet mereka untuk pelaburan.

“Berdasarkan itu, soalan yang ditanya sekarang ialah ‘Adakah prestasi pasaran saham yang meningkat adalah prestasi ekonomi sebenar atau adakah kerana mudah tunai kini mempunyai lebihan dalam pasaran dan pelabur atau pasaran massa tidak tahu di mana untuk melabur?’ Amat mudah untuk pergi ke mana-mana firma broker saham dan memutuskan apa yang mereka ingin lakukan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)