Pengecualian cukai jualan kenderaan tamat 30 Jun, tempoh daftar lanjut sehingga 31 Mac 2023

Pengecualian cukai jualan kenderaan tamat 30 Jun, tempoh daftar lanjut sehingga 31 Mac 2023

KUALA LUMPUR,. Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata namun, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun, 2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai itu maka tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac, 2023.

“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun, 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun, 2022.

Ia bertujuan mengekalkan dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19, katanya.

Tengku Zafrul berkata setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Beliau berkata dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala.

“Bagaimanapun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.

“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif,” katanya.

Belau berkata susulan itu, pemasangan sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan ini masih belum siap dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)