Pengeluaran getah asli turun kepada 30,342 tan pada Disember 2023 – Perangkaan
KUALA LUMPUR,. Pengeluaran getah asli Malaysia menyusut 1.1 peratus pada Disember 2023 kepada 30,342 tan metrik berbanding 30,669 tan metrik pada November 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.7 peratus kepada 30,556 tan metrik pada Disember 2022.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli pada Disember 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88 peratus ) berbanding sektor estet (12 peratus).
“Jumlah stok getah asli pada Disember 2023 meningkat 11 peratus kepada 191,320 tan metrik berbanding 172,307 tan metrik pada November 2023.
“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.9 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,591 tan metrik pada Disember 2023, menurun 11.7 peratus berbanding 51,643 tan metrik pada November 2023.
Beliau berkata China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2023 diikuti Jerman (12.7 peratus), Iran (3.9 peratus), Amerika Syarikat (3.8 peratus) dan Pakistan (2.8 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 bilion pada Disember 2023, menurun 5.9 peratus berbanding November 2023 (RM1.0 bilion),” katanya.
Menurut DOSM, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merosot 2.2 peratus pada Disember 2023 kepada 537.63 sen sekilogram pada November 2023, manakala sekerap turut menyusut 3.4 peratus kepada 542.89 sen sekilogram pada bulan itu berbanding 562.24 sen pada bulan sebelumnya.
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula menurun antara 2.1 peratus hingga 2.2 peratus, katanya.
Menurut DOSM, prestasi suku keempat 2023 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 1.5 peratus kepada 93,956 tan metrik berbanding 92,599 tan metrik pada suku ketiga 2023.
Sementara itu, prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2023 pula mencatatkan peningkatan 3.9 peratus berbanding suku keempat 2022 (90,399 tan metrik).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest pada Disember 2023, trend pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur dengan menyaksikan harga GMM 20 ditutup lebih tinggi pada dagangan terakhir tahun lepas.
Sentimen positif ini disumbangkan oleh keyakinan lebih tinggi terhadap lebih banyak langkah rangsangan yang diumumkan oleh China untuk menyokong pemulihan ekonomi serta dengan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mula mengurangkan kadar faedah pada 2024.
— BERNAMA