Pengeluaran gula putih bertapis jernih dapat kebenaran kerajaan – Salahuddin

Pengeluaran gula putih bertapis jernih dapat kebenaran kerajaan – Salahuddin

PUTRAJAYA,. Kerajaan telah membenarkan dua syarikat pengeluar gula tempatan — MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kebenaran itu akan memberikan pilihan gula kepada pengguna, selain gula putih bertapis kasar dan halus sedia ada yang disifatkan sebagai ‘gula rakyat’.

Beliau menegaskan penjualan gula putih bertapis jernih tidak boleh menggantikan bekalan gula putih sedia ada, dan syarikat bakal berdepan tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih sedia ada yang mencukupi.

Kerajaan juga telah mengarahkan MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada pada kuantiti semasa iaitu 42,000 tan sebulan, katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.

“Rakyat tidak perlu gusar dan panik, gula rakyat memang masih pasaran,” katanya sambil memberi jaminan kebenaran pengeluaran gula putih bertapis jernih itu tidak memberi kesan kepada bekalan gula sedia ada.

Amaran juga telah diberikan kepada pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih sedia ada kepada pelanggan, katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata Ops Manis akan dilaksanakan semula selama sebulan bermula hari ini bagi memastikan pengeluaran gula putih bertapis jernih tidak menjejaskan harga dan bekalan gula putih sedia ada di pasaran.

Harga gula putih bertapis sedia ada yang dikawal oleh kerajaan ialah RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus), yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ditanya sama ada gula putih bertapis jernih tersebut tergolong dalam kategori gula premium, Salahuddin berkata ia terpulang kepada syarikat berkenaan untuk memberi label, dan yang paling penting tidak dijual pada harga tinggi.
“Harga bagi gula tersebut (gula putih bertapis jernih) tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya ditentukan oleh pasaran,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)