Pengeluaran kad UNHCR di Malaysia akan dilihat semula – Hamzah

Pengeluaran kad UNHCR di Malaysia akan dilihat semula – Hamzah

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan melihat semula pengeluaran kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di negara ini sebelum memutuskan sebarang tindakan susulan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata kajian dan pertimbangan berhubung isu itu akan diserah kepada Wisma Putra untuk tindakan selanjutnya.

“Sepatutnya ia (kedudukan mereka yang memiliki kad UNHCR) berada pada keadaan statik namun lama-kelamaan bilangan pemegang kad UNCHR ini semakin meningkat yang menimbulkan masalah dalam negara kita.

“Kedudukan mereka yang memiliki kad UNHCR ini sesuatu yang kita sendiri pun tidak faham kerana sepatutnya angka pemegang kad UNCHR tidak berganjak mahupun kekal,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab persoalan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bangun mencelah penggulungan oleh menteri itu, berhubung fungsi UNHCR di Malaysia sehingga menyaksikan bilangan individu yang ramai memohon kad pelarian UNCHR yang dikeluarkan di pejabat UNCHR di Jalan Bellamy, di sini.

Terdahulu dalam penggulungannya, Hamzah berkata kerajaan bersetuju mewujudkan satu dasar berhubung pengalihan penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan.

Beliau berkata penyahjenayahan kesalahan penyalahgunaan dadah itu bertujuan meningkatkan akses untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah untuk mereka yang memerlukannya supaya dapat kembali kepada masyarakat.

“Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang itu juga bersetuju supaya dasar pengalihan ini diperhalusi dalam akta baharu iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang sedang dirangka,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri bersama Jabatan Penjara telah menyediakan kerangka reformasi sistem penjara bagi menggariskan penambahbaikan skop pengupayaan kakitangan, antaranya daripada aspek layanan, keselamatan dan reintegrasi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )