Pengerang Energy Complex peroleh pembiayaan projek US$3.5 bilion daripada agensi kredit eksport global

Pengerang Energy Complex peroleh pembiayaan projek US$3.5 bilion daripada agensi kredit eksport global

KUALA LUMPUR,. Pengerang Energy Complex Sdn Bhd (PEC) berjaya mencapai persetujuan dengan agensi kredit eksport (ECA) dari Amerika Utara, Eropah Barat dan Selatan, serta Asia di samping dengan Islamic Development Bank mengenai terma pembiayaan bagi pembiayaan projek berjumlah US$3.5 bilion.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, PEC menjelaskan modal yang diperoleh itu akan disalurkan untuk pelaksanaan kemudahan petrokimia rendah karbon generasi terkini bernilai US$5.3 bilion.

Lima ECA itu ialah Export-Import Bank of the United States; Euler Hermes AG dari Jerman; Export Credit Agency (SACE) Itali; Compañía Española de Seguros de Crédito a la Exportación (CESCE) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd, serta Islamic Development Bank.

Menurut PEC, wakil daripada semua entiti itu berada di sini untuk mengesahkan terma perjanjian pembiayaan itu dengan pihaknya.

“Kemudahan itu akan digunakan untuk menghasilkan 2.6 juta tan setahun (mmtpa) produk aromatik dan 3.0 mmtpa produk tenaga berkaitan.

“Pembinaan akan bermula pada pertengahan 2025 dan projek itu akan mula beroperasi pada suku keempat 2028,” tambah PEC.

Ketua Pegawai Eksekutif PEC Alwyn Bowden berkata pembiayaan itu akan membantu memperkukuh kestabilan kewangan PEC dan mempercepat kemajuan projek itu yang sudah berjalan dengan baik dari segi perancangan dan kejuruteraan.

“Kami berterima kasih atas keyakinan yang ditunjukkan oleh rakan kongsi kami terhadap projek ini. Perbincangan yang diadakan hari ini akan membolehkan kami memuktamadkan sepenuhnya pembiayaan hutang bagi projek dalam beberapa bulan akan datang dan memulakan pembinaan pada pertengahan tahun depan.

“Memandangkan industri petrokimia diunjurkan berkembang pesat, di samping pembangunan ekonomi yang rancak di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara, projek PEC bersedia untuk membentuk pemacu utama permintaan terhadap aromatik berkualiti dalam jangka masa sederhana hingga panjang,” katanya.

Beliau berkata PEC terletak di lokasi yang strategik untuk memenuhi pasaran serantau Asia dan memenuhi permintaan yang diunjurkan.

PEC, terletak di dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang di Johor, akan menjadi antara satu kemudahan pemisah kondensat bersepadu dan aromatik terbesar dan paling kompetitif di dunia.

Projek itu juga dijangka menggunakan kira-kira 7,000 tenaga kerja semasa fasa pembinaan dan apabila beroperasi, 80 peratus daripada 300 tenaga kerjanya ialah rakyat Malaysia.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )