Penggiat seni harus adaptasi platform digital

KUALA LUMPUR,. Penggiat seni perlu mengadaptasi diri dengan norma baharu demi kelangsungan hidup dan tidak boleh sekadar mengeluh serta bersedih kerana orang ramai tidak boleh menonton karya seni di panggung, auditorium dan pentas ekoran pandemik COVID-19.

Karyawan teater Fauziah Nawi berkata dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19, perlu ada kerjasama antara penggiat seni, pengeluar produk seni dan kerajaan dalam membawa seni persembahan negara ke peringkat tinggi menggunakan platform digital.

“Setiap rakyat Malaysia harus memainkan peranan menyokong seni dan sastera kerana ia adalah maruah negara,” kata Pengarah Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefanie) itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengenai Pendigitalan Kandungan Kreatif dalam rancangan Temu Minda terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disiarkan secara dalam talian di akaun facebook Kementerian itu malam ini.

Fauziah berkata sebagai penggiat seni generasi lama, beliau banyak belajar dan bekerjasama dengan generasi muda dalam menghasilkan teater arahannya ‘Rasa’ yang dipentaskan secara dalam talian bermula hari ini sehingga 22 Dis.

Teater itu mengangkat naskhah Sasterawan Negara Usman Awang dan mengisahkan pertelingkahan Laksamana Hang Tuah dan Laksamana Hang Jebat atas nama kesetiaan kepada raja serta pengorbanan demi menegakkan keadilan.

Seorang lagi tetamu rancangan itu, Presiden Persatuan KakiSeni Low Ngai Yuen berkata kerajaan memang perlu membantu golongan seni namun penggiat seni sendiri harus proaktif dan bergerak ke hadapan dengan menggunakan platform digital dalam berkarya.

Beliau berkata ketika Perintah Kawalan Pergerakan mula dilaksanakan, ramai ibu bapa mahukan anak mereka didedahkan kepada kemahiran dan seni baharu.

Katanya permintaan itu mendorong beberapa aktiviti dianjurkan bagi mengasah seni kreatif dan seni persembahan kanak-kanak termasuk bercerita secara dalam talian.

Sementara itu, Saifuddin berkata kerajaan komited untuk memperkasakan seni dan budaya negara menggunakan teknologi digital selaras dengan kehidupan pasca COVID-19.

“Anak seni harus terus berkarya dan hasil seni harus terus dinikmati masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )