Pengguna perlu lebih bertanggungjawab ketika layari internet
KUALA LUMPUR,. Orang ramai perlu menggunakan Internet secara bertanggungjawab dan menyedari implikasi daripada setiap hantaran mereka di media sosial.
Pengarah Undang-Undang, Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan bagi ASEAN dan Pasaran Baharu Microsoft Malaysia, Dr Jasmine Begum berkata pengguna Internet selalu membicarakan soal keselamatan dan hak privasi, namun mereka tetap cenderung melakukan perkara yang bertentangan dengannya.
Beliau memberi contoh penyebaran gambar kanak-kanak di Internet yang memperlihatkan bagaimana pengguna masih tidak menyedari kesan penggunaan Internet secara tidak bertanggungjawab.
“Ibu bapa perlu sedar. Apabila mereka menghantar maklumat mengenai anak-anak mereka dan berkongsi maklumat berkenaan, mereka perlu lebih berhati-hati, dan (ibu bapa) perlu bertanggungjawab terhadap apa yang telah dikongsikan.
“Pertama sekali, keselamatan anak-anak, memanglah media sosial ini bagus tetapi ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab. Membuat hantaran tentang makanan boleh tetapi apabila membuat hantaran gambar-gambar anak, adakah ia akan mendedahkan tentang latar belakang anak itu, adakah ia akan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, jadi saya fikir ibu bapa perlu sedar (perkara ini),” katanya kepada Bernama.
Jasmine adalah antara ahli panel pada Kolokium Kebangsaan mengenai Pemahaman Islam, ‘Islam and Disruptive Technologies’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata generasi muda kini gemar membuat hantaran di Internet yang kadangkala tidak memikirkan mengenai kesannya.
Beliau berkata pengguna juga suka menggunakan perkhidmatan WiFi di tempat awam tanpa menyedari data mereka boleh diceroboh atau dicuri.
“Anda pergi ke tempat awam dan menggunakan WiFi yang disediakan, dan jika seseorang telah melakukan ‘spoofing’ (penipuan) di laman berkenaan, WiFi itu dan anda klik padanya, data anda boleh dicuri.
“Jika saya biasa ke satu tempat awam setiap hari dan seseorang memerhatikan saya bekerja di situ sepanjang hari, mereka akan tahu bahawa saya menggunakan WiFi di situ, boleh jadi data bank saya akan dicuri, penipuan (laman web) kerap terjadi kebelakangan ini,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi IKIM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapannya berkata media sosial hanyalah alat dan tidak mendatangkan kemudaratan melainkan ada yang menyalahgunakannya.
“Kini ramai yang menghabiskan banyak masa dengan gajet. Keadaan ini mendorong berlakunya masalah obesiti dan penyakit.
“Media sosial juga telah menjadi platform kepada sesiapa sahaja untuk menyatakan pandangan mereka dengan bebas apa lagi ia turut membenarkan komen-komen daripada orang yang enggan dikenali,” katanya.
— BERNAMA