Penggunaan dron bantu tingkat penguatkuasaan sistem KEJARA

Penggunaan dron bantu tingkat penguatkuasaan sistem KEJARA

SEREMBAN,. Penggunaan dron oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu meningkatkan penguatkuasaan sistem demerit di bawah Sistem Penalti Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) bagi mengurangkan kesalahan lalu lintas.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata ia juga bagi memastikan pengguna mematuhi arahan dan undang-undang jalan raya sekali gus mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan 50 peratus menjelang 2030.

Beliau berkata sejak Jan 2022 hingga 5 April lepas, sebanyak 146,261 mata demerit KEJARA dikenakan kepada pengguna dengan 1,935 pemegang lesen diberikan amaran, digantung kali pertama (412), kali kedua (75), dan kali ketiga (7) manakala enam pemegang lesen pemandu percubaan (PDL) dibatalkan lesen.

“Antara kesalahan yang akan dikenakan mata demerit ialah memotong garisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan melanggar lampu isyarat merah. Jadi dron-dron ini akan digerakkan untuk mengesan kesalahan terbabit dan segera diambil tindakan.

“Kesalahan demerit ini akan beri kesan besar kerana kemungkinan lesen mereka digantung atau ditarik, selain kenderaan boleh disita dan dilucuthak sekiranya masih menggunakan kenderaan tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan penggunaan dron yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusof di sini semalam.

Beliau berkata pengutkuasaan melalui penggunaan dron itu akan dilaksanakan secara berterusan dan pada masa sama terus meningkatkan kebolehan anggota dalam mengendalikan peralatan berkenaan.

Menurutnya, terdapat 15 dron digunakan untuk bantuan penguatkuasaan di enam negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Ibu Pejabat JPJ manakala lain-lain negeri sedang dalam proses mendapatkan lesen.

Sementara itu, Lokman berkata JPJ akan mempergiatkan pemantauan di 129 lokasi titik panas (hot spot) di seluruh negara yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan termasuk melalu bantuan dron terutama musim perayaan ini.

“Penggunaannya untuk kesan pesalah jalan raya sangat efektif dan pengguna akan rasa diri sedang diperhatikan selain meningkatkan ‘perception of being caught’. Ia juga tidak menganggu aliran trafik tapi masih boleh kesan kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Hanif Yusabra berkata bagi tempoh dua hari penguatkuasaan jalan raya di Negeri Sembilan, sebanyak 61 notis kesalahan dikesan menerusi dron termasuk gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )