Penguatkuasaan operasi lembu terbiar diperluas ke semua PBT di Melaka

Penguatkuasaan operasi lembu terbiar diperluas ke semua PBT di Melaka

JASIN,. Kerajaan Negeri Melaka akan memperluaskan penguatkuasaan terhadap operasi tangkapan lembu ternakan terbiar kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu bagi menyelesaikan isu ternakan berkeliaran sehingga mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perbincangan akan diadakan bersama empat PBT terbabit untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi tujuan itu, serta merangka garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaannya.

Beliau berkata perbincangan mengenai masalah menempatkan lembu ditangkap juga akan dibangkitkan dalam perbincangan yang dijangka diadakan minggu depan.

“Kami akan bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Melaka Beef Farm Sdn Bhd yang mempunyai kepakaran menjaga dan menangkap lembu selain mempunyai ladang sesuai sebelum ia dituntut pemilik atau akan dilelong sekiranya mereka gagal membayar kompaun ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi Lelongan Haiwan Ternakan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang turut dihadiri Setiausaha MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd Azahar Mohamed.

Sementara itu, pada sesi lelongan hari ini, MPJ mampu meraih sebanyak RM11,700 menerusi lelongan sebanyak lima lembu yang tidak dituntut berikutan pemiliknya gagal melunaskan kompaun dalam tempoh ditetapkan.

Lelongan itu membabitkan empat ekor lembu jantan dan seekor lembu betina dengan harga lelongan tertinggi adalah RM3,500 manakala terendah berharga RM1,600.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)