Penguncupan perlahan dalam IP mencerminkan prospek pertumbuhan – MIDF Research
KUALA LUMPUR,. Penguncupan yang lebih perlahan dalam Indeks Pelopor (IP) Malaysia, yang jatuh sebanyak -0.3 peratus dari tahun ke tahun (y-o-y) pada September 2023 berbanding -0.5 peratus pada Ogos 2023, menunjukkan prospek pertumbuhan Malaysia bertambah baik, kata MIDF Research.
IP pada waktu ini adalah kejatuhan paling perlahan dalam tempoh tujuh bulan setelah mengalami penguncupan, kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya pada Jumaat.
MIDF Research menjangkakan prospek pertumbuhan akan bertambah baik secara beransur-ansur pada suku keempat 2023 (S4 2023).
“Meskipun mencatat momentum sederhana yang berterusan disebabkan oleh perdagangan luar yang lemah, pertumbuhan berterusan dalam Indeks Serentak (IS) juga menandakan pertumbuhan ekonomi negara kekal positif, seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang mampan pada suku ketiga (S3) 2023,” kata firma itu.
MIDF Research berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat sedikit kepada 3.3 peratus pada S3 2023, (S2 2023: 2.9 peratus tahun ke tahun), iaitu sama dengan anggaran awal.
Tambahnya pertumbuhan sederhana di bawah -4 peratus mencerminkan kelembapan berterusan disebabkan permintaan luar yang lemah, manakala pertumbuhan yang mampan disandarkan oleh peningkatan berterusan permintaan dalam negeri, hasil daripada aktiviti perbelanjaan yang semakin meningkat berikutan keadaan pasaran pekerjaan yang positif.
Mengenai kadar inflasi teras, MIDF Research berkata angka itu menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga tahun, dengan kadar inflasi teras pada 1.8 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2023, terendah sejak Mac 2021.
“Kadar inflasi berada di bawah konsensus pasaran sebanyak 1.9 peratus dari tahun ke tahun. Kadar inflasi bukan makanan kekal pada 0.9 peratus dari tahun ke tahun manakala kadar inflasi makanan menyederhana kepada paras terendah hampir dua tahun pada 3.6 peratus dari tahun ke tahun.
“Tekanan inflasi yang semakin lemah, antara lain disebabkan oleh kesan asas yang tinggi dan harga komoditi global yang kembali normal,” katanya.
MIDF juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 4.2 peratus tahun ini, menyederhana daripada pengembangan 8.7 peratus pada 2022.
“Walaupun terkesan daripada permintaan luar yang lemah, pertumbuhan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan aktiviti pelaburan akan menyokong pertumbuhan yang mampan pada tahun ini,” tambahnya.
– BERNAMA