
Pengundi Muda Perlu Lebih Cakna, Celik Sistem Demokrasi Berparlimen – PM
KUALA LUMPUR – Pengundi muda diharap lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen serta peranan mereka, serentak dengan pelaksanaan Undi18.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan belia diharapkan dapat meningkatkan jati diri sebagai warganegara dengan menjalankan tanggungjawab untuk tampil mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Pada 12 Mac lalu, negara mencipta sejarah baharu apabila golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas.
“Ia termasuk dalam keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan secara langsung hari ini.
Perdana Menteri berkata, jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada 2020 ialah 6.2 juta iaitu 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar. “Penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan lebih meluas.
“Pelaksanaan pindaan akta itu dapat meramaikan pemimpin belia berumur di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada golongan itu untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan tujuh kategori baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara tahun ini.
Jelasnya , inisiatif itu dilaksana dengan tujuan menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbang bakti kepada pembangunan negara. “Tujuh anugerah baharu yang diperkenalkan termasuk Ikon Belia Karismatik, Ikon belia Kelestarian Alam, Ikon Belia Reka Tekno dan Ikon Belia Influencer (Media Sosial).
“Turut diperkenalkan Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz serta Ikon Belia OKU,” tambahnya. Menurut Ismail Sabri, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus bermula tahun ini.
“Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula tahun ini, ia akan dilaksanakan dalam majlis khusus penuh gemilang, menggunakan logo tetap sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara,” ujarnya.
– Getaran