Pengusaha bot rayu kerajaan tangguh, kaji semula PLKS

BESUT,. Seramai 20 pemilik bot pukat jerut dan bot bubu di sini merayu kerajaan menangguh dan mengkaji semula penguatkuasaan pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing, yang dijadual bermula bulan depan memandangkan kadar yang dikenakan dianggap terlalu tinggi.

Wakil mereka, Mohd Ikhwan Mohd Zuki berkata apabila PLKS dilaksanakan nanti, setiap pengusaha bot perlu membayar RM8,240 bagi setiap awak-awak warga asing yang mereka ambil bekerja.

“Bayangkan saya yang mempunyai tiga buah bot dengan awak-awak warga asing seramai 70 orang, perlu membayar PLKS lebih RM500,000 untuk setahun. Itu belum termasuk kos bot pukat jerut untuk keluar menangkap ikan yang mencecah lebih RM40,000 hingga RM50,000.

“Pelaksanaan PLKS ini sudah tentu akan menambah beban pengusaha bot yang terpaksa menanggung kos yang tinggi sedangkan pendapatan sektor perikanan tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan surat rayuan PLKS kepada Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut di sini.

Mohd Ikhwan berkata semua pengusaha bot Zon C Kuala Besut tidak mampu untuk membayar kadar yang dikenakan kerana tidak mempunyai kewangan mencukupi, apatah lagi sebahagian daripada 50 buah bot yang berdaftar di Kuala Besut sudah sembilan bulan tidak beroperasi akibat penularan pandemik COVID-19.

“Sejak pandemik COVID-19 ini hanya enam buah bot sahaja yang beroperasi, selebihnya kira-kira 44 buah bot lagi tersadai. Ia berpunca kerana awak-awak warga asing dari Thailand pulang ke negara mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan tidak dapat pulang semula untuk bekerja di sini sehingga sekarang,” katanya.

Sementara itu Idris ketika ditemui pemberita pada majlis itu berjanji akan membawa permasalahan itu kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam masa terdekat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )