Pengusaha ladang cili digesa guna perkhidmatan DuitNow

SHAH ALAM,. Pengusaha ladang cili di seluruh negara digesa menggunakan perkhidmatan DuitNow untuk memudahkan urusan jual beli tanaman mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri berkata langkah itu akan membolehkan pengusaha cili mendapat bayaran dengan segera tanpa menunggu dalam tempoh yang lama.

“Sebelum ini, pengusaha cili terpaksa menunggu masa yang lama sekurang-kurangnya tiga hari untuk mendapat bayaran hasil jualan cili mereka dari pusat pengumpulan hasil ladang.

“Dengan perkhidmatan ini, mereka boleh mendapat bayaran terus atau segera melalui akaun bank dengan hanya menggunakan kad pengenalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Menyemarakkan Penggunaan Teknologi Digital Dalam Industri Pertanian di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Azulita Salim.

Surina berkata dengan mengamalkan kaedah pembayaran tanpa tunai itu secara tidak langsung pusat pengumpulan dapat mengurangkan kos operasi mereka.

“Selain mempercepatkan masa yang diambil, langkah ini mampu mengurangkan kos operasi di mana pihak pusat pengumpulan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memproses bayaran termasuk mengeluarkan cek kepada pengusaha cili,” katanya.

Beliau juga berkata MDEC akan memastikan mereka yang terlibat dalam sektor pertanian tidak akan ketinggalan dalam era digital negara.

Sementara itu, Azulita berkata pihaknya menyasarkan 50,000 peladang cili di seluruh negara akan mendaftar dalam perkhidmatan DuitNow menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini, kira-kira 420 pengusaha cili dari Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) dalam proses mendaftar untuk menggunakan DuitNow dengan kerjasama CIMB Bank.

“Kita menjadikan pengusaha ladang di Kuala Langat ini sebagai perintis kepada projek penggunaan perkhidmatan tersebut,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )