Peniaga boleh pohon surat kebenaran perjalanan sekali sahaja – Polis Kelantan
KOTA BHARU,. Penduduk di Kelantan yang bekerja sendiri atau pekerja harian tiada majikan, kini dibolehkan memohon surat kebenaran perjalanan sekali sahaja di balai polis berhampiran, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.
Beliau berkata, pihaknya boleh mengeluarkan surat kebenaran perjalanan bertarikh dari awal hingga berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 26 Jan ini, di negeri berkenaan.
Jelasnya, ia merupakan antara pembaharuan pihak polis dalam menambah baik ketetapan prosedur permohonan surat itu pada PKP kali kedua ini, berbanding pelaksanaan perintah itu pada tahun lepas dan sekali gus memudahkan pergerakan masyarakat.
“Mereka tidak perlu lagi datang ke balai polis dua atau tiga kali untuk dapatkan surat kebenaran bekerja seperti PKP sebelum ini. Sekarang, cuma datang sekali ke balai polis dan mohon satu surat kebenaran sahaja untuk digunakan hingga berakhir PKP.
“Mereka cuma perlu mengemukakan dokumen yang mengesahkan status pekerjaan, bahawa mereka ini bekerja sendiri seperti peniaga atau pekerja harian yang tiada majikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Pekan dekat sini, tengah malam tadi.
Selain itu, bagi memudahkan individu dalam kecemasan, Shafien turut berkata surat kebenaran perjalanan itu juga boleh dimohon di lokasi SJR yang diadakan di negeri itu.
“Sebelum ini mereka perlu ke balai terlebih dahulu untuk minta kebenaran, tapi kali ini kita permudahkan kaedah ini, tetapi dengan syarat mereka mesti mengemukakan bukti sahih kenapa mereka memerlukan kebenaran pergerakan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 448 anggota yang terdiri dari Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), ditugaskan di 19 SJR di sempadan 10 jajahan di Kelantan sepanjang PKP kali ini.
“Ada beberapa kawasan yang kita lakukan dua atau tiga lokasi SJR seperti di Pasir Puteh, kerana ada laluan-laluan tikus yang boleh digunakan mereka tanpa melalui jalan utama,” tambahnya.
Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP dikenakan semula di Kelantan bermula 16 hingga 26 Jan ini, berikutan berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negeri berkenaan.
— BERNAMA