Peningkatan kapasiti, pengoptimuman rangkaian untuk tampung permintaan tinggi jalur lebar – Saifuddin
KUALA LUMPUR, 14 April — Peningkatan kapasiti dan pengoptimuman rangkaian sedang giat dijalankan bagi menampung permintaan tinggi jalur lebar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata kementeriannya, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak pemberi perkhidmatan telekomunikasi, sedang giat memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan RM400 juta dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Antara usaha yang dilakukan ialah melaksanakan pengoptimuman rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan yang mempunyai penggunaan tinggi serta melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi permintaan jalur lebar yang meningkat di premis kediaman.
“Selain itu, menaik taraf sambungan ‘backhaul’ tanpa wayar kepada sambungan gentian optik, meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik, termasuk menyediakan infrastruktur gentian optik baharu selain meningkatkan jalur lebar sambungtara serta mengguna pakai kapasiti rizab turut dilaksanakan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Menyediakan stesen pemancar mudah alih serta akses Wi-Fi untuk menangani isu berkaitan trafik rangkaian di kawasan kritikal serta meningkatkan kapasiti rangkaian antarabangsa juga antara usaha yang dilakukan bagi menampung permintaan jalur lebar, kata beliau.
— BERNAMA