Penjaga gol muda negara jalani sesi percubaan di Sepanyol

KUALA LUMPUR,. Penjaga gol muda Selangor FC Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, dijadual berlepas ke Sepanyol malam ini bagi menjalani sesi latihan dan percubaan bersama kelab LaLiga 2, CF Fuenlabrada selama seminggu bermula Sabtu ini.

Pengarah Operasi Urban Bash Sports Sdn Bhd Faliq Firdaus berkata pihaknya telah dihubungi pasukan di divisyen dua Sepanyol itu pada Julai lepas yang menyatakan minat untuk menguji keupayaan pemain skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan berusia 19 tahun itu.

Sebagai syarikat bertanggungjawab menguruskan karier Sikh Izhan, Faliq berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Selangor FC bagi memastikan perjalanan karier pemain yang digilap menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu berada di landasan tepat.

“Tanggungjawab kita mencari kelab terbaik untuk Sikh Izhan tetapi kita harus hormat Selangor FC sebagai pasukan beliau yang sah. Sejak tahun ini kita mula hubungi kelab dan rakan-rakan kongsi kita di sana (Sepanyol) untuk cuba menerokai peluang Sikh Izhan bermain di luar negara.

“Jadi peluang itu timbul pada Julai lepas apabila CF Fuenlabrada menghantar surat menunjukkan minat,” katanya yang akan turut ke Sepanyol bagi menemani Sikh Izhan sepanjang sesi percubaan, ketika dihubungi Bernama, semalam.

Urban Bash Sports Sdn Bhd adalah syarikat tempatan yang memfokus kepada aspek pemasaran sukan dan pengurusan atlet.

Sikh Izhan merupakan penjaga gol muda meningkat naik negara yang mula menempa nama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersama Selangor FC II pada musim 2020 sebelum diserapkan ke skuad utama Gergasi Merah menjelang saingan Liga Super 2021.

Selepas bertungkus lumus berusaha membuktikan kemampuan sejak diserapkan dalam skuad utama pada Disember tahun lalu, Sikh Izhan akhirnya membuat penampilan pertama bersama Selangor FC dalam kemenangan 4-2 ke atas Kedah Darul Aman FC pada aksi Liga Super, Ogos lepas.

Beliau turut berada dalam skuad B-22 negara kendalian Ketua Jurulatih Brad Maloney, yang berjaya mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022, pada pusingan kelayakan kejohanan itu di Ulaanbaatar, Mongolia, baru-baru ini.

“Ini sesuatu yang penting kepada Sikh Izhan, ia merupakan satu penanda aras dan fokus kita untuk pasarkan pemain yang ada kualiti. Jadi ketika ini tumpuan adalah untuk pastikan terdapat tawaran buat Sikh Izhan, bukan kontrak, kerana beliau masih pemain Selangor FC.

“Kita bekerjasama rapat dengan Selangor FC dan berminat nak tengok macam mana kedua-dua pihak boleh mendapat manfaat daripadanya, beberapa perkara lain juga mungkin boleh dicuba seperti dipinjamkan. Kita tengok macam mana nanti,” kata Faliq.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This