PENJANA: Bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, ibu tunggal

PENJANA: Bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, ibu tunggal

KUALA LUMPUR,. Bantuan sosial menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal merupakan bukti keprihatinan pihak kerajaan terhadap golongan mudah terjejas itu, menurut sebuah persatuan OKU.

Bantuan sosial itu difokuskan bagi membantu lebih 300,000 ibu tunggal dan golongan OKU dengan pemberian RM300 secara ‘one-off’ atau sekali sahaja kepada mereka.

Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya (OKU), V. Murugeswaran berkata bantuan itu menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan golongan OKU dan ibu tunggal yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Bantuan daripada kerajaan ini sangat dialu-alukan bagi mengurangkan beban golongan OKU di waktu pandemik ini, tindakan ini sangat digalakkan.

“Semua lapisan masyarakat terjejas pada waktu ini dan golongan OKU juga tidak terlepas (terkecuali) daripada menerima bantuan-bantuan khas yang diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada Bernama, pada Sabtu.

Selain itu bagi meluaskan bantuan terhadap para OKU di negara ini, Murugeswaran mencadangkan supaya kerajaan memasukkan golongan pemegang kad OKU yang layak sebagai penerima bantuan itu.

Katanya walaupun bantuan sosial itu memberi keutamaan kepada OKU yang berpendapatan rendah (B40), namun pada waktu ini ramai golongan OKU lain yang turut terjejas dari segi pendapatan.

Justeru, beliau meminta jasa baik kerajaan untuk membuat satu sistem secara dalam talian bagi membolehkan semua pemegang kad OKU memohon bantuan RM300 itu menggunakan nombor OKU masing-masing.

“Dalam nombor OKU ada pelbagai maklumat berkenaan perkerjaan, dan pendapatan seseorang, dan kerajaan boleh menilai siapa layak dan siapa tidak layak untuk dapat bantuan,” katanya.

Pengerusi Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia (MPITM) Nor Aini Juffery mencadangkan supaya kerajaan memaklumkan agensi-agensi berkaitan tentang tatacara dan kaedah pengagihan peruntukan khas tersebut.

Beliau berkata perkara itu perlu bagi memudahkan persatuan seperti MPITM untuk berkongsi maklumat dengan ibu tunggal yang ingin memohon bantuan berkenaan.

Nor Aini berkata bantuan sosial itu sangat diperlukan oleh golongan ibu tunggal terutamanya pada waktu PKP, dan ramai yang teruja mendengar pengumuman berita tentang bantuan khas yang ditujukan kepada ibu tunggal.

Di bawah PENJANA yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas, seramai 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat layak menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban golongan tersebut mendepani PKP.

Bayaran berkenaan akan disalurkan kepada golongan penerima itu sebelum Aidiladha.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )