
Pensijilan FRIM PCS bertujuan memperkasakan industri perabot bumiputera – MOF
KUALA LUMPUR,. Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan penguatkuasaan pensijilan dari Perkhidmatan Pensijilan Produk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM PCS) merupakan usaha kerajaan menerusi program Pemerkasaan Industri Perabot Bumiputera untuk meningkatkan kapasiti serta kualiti perabot keluaran syarikat bumiputera.
Timbalan Menteri, Datuk Amiruddin Hamzah berkata program itu bertujuan membolehkan pengusaha perabot bumiputera mampu menembusi pasaran luar dan pada masa sama, perabot yang dibekalkan kepada kerajaan turut mendapat jaminan kualiti.
“FRIM telah dilantik sebagai pengawal selia memandangkan ia merupakan badan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Badan Pensijilan Produk oleh Persatuan Penyelidikan Industri Perabot dan Jabatan Standard Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan akhbar Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini yang mendakwa MOF tidak berlaku adil terhadap 33 syarikat perabot bumiputera daripada senarai Kontrak Panel Berpusat (KPB).
MOF amat prihatin dengan rayuan ahli persatuan dalam industri perabot bumiputera yang masih belum menyelesaikan proses pengujian produk mereka, katanya
Amiruddin berkata, justeru itu, MOF telah memutuskan tempoh bagi syarikat perabot bumiputera berkenaan mendapatkan pensijilan FRIM PCS dilanjutkan enam bulan lagi, iaitu sehingga 31 Dis, 2019.
“Kelonggaran ini tidak melibatkan lima syarikat yang langsung tidak mengemukakan produk mereka untuk pensijilan FRIM PCS.
“Namun, sekiranya syarikat itu masih berminat untuk menyertai KPB Perabot, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada MOF untuk dipertimbangkan, tertakluk kepada (syarat) syarikat telah memperolehi pensijilan FRIM PCS dalam tempoh lanjutan ini,” katanya.
Beliau berkata pada 22 Jun, 2018, MOF telah menyenaraikan 87 syarikat pengeluar perabot bumiputera sebagai panel di bawah KPB Perabot untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Julai, 2018 hingga 30 Jun, 2021.
Syarikat tersebut dikehendaki mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh satu tahun kontrak berkuat kuasa sehingga 30 Jun, 2019 (tarikh akhir mendapatkan pensijilan) dengan kegagalan mematuhi syarat tersebut akan menyebabkan syarikat digugurkan secara automatik daripada senarai KPB, katanya.
Amiruddin berkata sebanyak 54 syarikat telah berjaya mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata status kemas kini setakat hari ini (11 Sept, 2019) bagi baki 33 syarikat yang gagal memperoleh sijil dalam tempoh berkenaan menunjukkan hanya 13 syarikat berjaya mendapatkan pensijilan, 15 syarikat masih dalam proses pengujian dan lima syarikat lagi langsung tidak mengemukakan permohonan kepada FRIM.
“Bagi memastikan industri bersedia dengan penguatkuasaan pensijilan ini, MOF bersama FRIM telah mengadakan 17 siri libat urus dengan pengusaha yang terlibat termasuk ahli Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera (PETRA),” katanya.
Beliau berkata justeru itu, MOF sangat menghargai kerjasama ditunjukkan oleh majoriti pengusaha yang telah berjaya mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus membuktikan pengusaha bumiputera bersedia untuk meningkatkan kualiti produk mereka menepati piawaian yang lebih tinggi.
— BERNAMA