
Penurunan sementara harga minyak Brent akan ditampung oleh permintaan, risiko geopolitik – Rystad Energy
KUALA LUMPUR,. Rystad Energy yang berpangkalan di Oslo, menjangkakan penurunan harga minyak mentah Brent baru-baru ini hanya bersifat jangka pendek, ditampung oleh jangkaan permintaan musim panas dan risiko geopolitik yang berterusan.
Firma penyelidikan tenaga bebas itu menjelaskan pasaran telah bertindak balas terhadap pengumuman tarif Hari Pembebasan, Amerika Syarikat (AS) yang baharu pada Rabu lepas serta keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan 10 negara pengeluaran minyak lain (OPEC+) untuk menaikkan bekalan Mei kepada 411,000 tong sehari dari lapan negara.
Sebagai tindak balas, minyak mentah Brent turun 4.0 peratus dalam urus niaga awal, susut di bawah US $70 setong, pembetulan US$5 setong dari tahap sebelum ini (US$1 = RM4.44).
Ketua Pasaran Komoditi Global Rystad Energy – Minyak, Mukesh Sahdev berkata OPEC+ telah membuat langkah oportunistik dengan meningkatkan bekalan pada Mei untuk mengambil peluang ke atas pengeluaran bukan OPEC yang tidak stabil.
Berikutan gangguan dari sekatan dan tarif, harga minyak berkemungkinan tidak akan berada di bawah US$70 untuk satu jangka masa panjang.
“Pada masa yang sama, terdapat isyarat yang jelas dari OPEC+ untuk mengekalkan pematuhan selain mengelakkan lebihan yang boleh mengancam ‘backwardation’ semasa pasaran (harga minyak di masa depan adalah lebih rendah daripada sekarang).
“Tindak balas pada masa depan mungkin akan bergantung kepada pengembangan sekatan AS, tarif atau konflik ketenteraan,” katanya melalui satu kenyataan.
Rystad Energy menyebut bahawa dengan memilih untuk meningkatkan bekalan, OPEC+ mahu memulihkan lebih banyak tong minyak ke dalam pasaran apabila harga minyak mentah menghadapi tekanan ke bawah.
Tempoh keputusan ini amat ketara kerana ia mengikuti minggu-minggu yang mengandungi banyak isyarat bercampur dari pasaran minyak.
Ini termasuk peningkatan pengeluaran dari negara-negara bukan OPEC+ (seperti AS, Brazil serta Kanada), Perang Perdagangan AS (sekatan dan tarif), permintaan China yang lebih rendah daripada jangkaan, kegagalan gencatan senjata Rusia-Ukraine termasuk tekanan dalaman dari negara anggota yang mahu sasaran yang lebih tinggi bagi memadankan kapasiti baharu mereka.
“Keputusan untuk meningkatkan pengeluaran juga menggariskan kemantapan kedudukan strategik OPEC+ merentasi beberapa bidang termasuk mengekalkan keupayaan untuk meningkatkan bekalan seperti yang diperlukan bagi menangani lonjakan harga, menyediakan tuas utama kawalan pasaran dan menghasilkan minyak mentah masam sederhana, yang merupakan bahan bakar ruji untuk loji penapisan di seluruh dunia,” tambahnya.
— BERNAMA