Peperiksaan SPM 2021 dilaksanakan pada 2022 – Radzi

Peperiksaan SPM 2021 dilaksanakan pada 2022 – Radzi

PUTRAJAYA,. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan diadakan pada tahun depan, demikian umum Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, semalam.

Beliau berkata ujian lisan dan amali sains bagi SPM 2021 akan diadakan pada Februari 2022 manakala peperiksaan bertulis pada Mac 2022.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan itu setelah mengambil kira keadaan semasa dan cabaran yang perlu dilalui oleh calon SPM 2021.

“Pengalaman KPM mengurus SPM 2020 membolehkan kita menganjak tempoh atau tarikh peperiksaan 2021 ke 2022 dan yakin segala proses berkaitan dengan SPM 2021 akan berjalan lancar seperti yang dilaksanakan pada SPM 2020,” katanya pada sidang media secara maya mengenai pengoperasian sekolah.

Radzi berkata pelaksanaan SPM 2020 adalah mencabar kerana kali pertama dilakukan sejak negara merdeka dengan terlalu banyak penambahbaikan perlu dibuat serta melibatkan jumlah petugas yang ramai iaitu kira-kira 48,000 orang.

“Dalam pelaksanaan ini, belum ada dalam sejarah macam mana melaksanakan SPM dalam pandemik.

“Lembaga Peperiksaan mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang cukup lengkap. Kalau dulu, jarak antara meja ialah 0.8 meter dan kita tingkatkan kepada 1.5 meter dan pelajar yang datang walaupun bukan tentu positif tetapi ada batuk diletakkan di dalam bilik khas yang hanya ada tiga hingga empat orang hingga hampir semua bilik darjah digunakan,” katanya.

Beliau berkata jika dulu guru-guru akan berhimpun untuk membuat pemarkahan, SPM 2020 menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah negara pemeriksaan kertas peperiksaan dibuat secara dalam talian.

“Itu bukan satu perkara yang mudah kerana lebih lima juta kertas peperiksaan perlu diimbas satu persatu untuk dimasukkan dalam sistem bagi membolehkan pemeriksaan secara dalam talian,” katanya.

Radzi berkata keputusan SPM 2020 juga boleh disemak secara dalam talian berbanding dahulu yang memerlukan calon pergi ke sekolah untuk berbuat demikian.

Keputusan peperiksaan SPM 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini mulai 10 pagi melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS).

Untuk keputusan penuh, calon boleh ke pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my, manakala ringkasa keputusan boleh diperoleh melalui SMS dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Seramai 401,105 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2020 yang bermula pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Radzi berkata sijil SPM sebelum ini akan dicetak selepas lima atau enam bulan selepas keputusan keluar tetapi sijil SPM 2020 akan dicetak selepas keputusan keluar.

“Ini menunjukkan dalam tempoh yang singkat ini banyak yang kita telah laksanakan dalam memastikan kejayaan SPM 2020 yang bukan sahaja merupakan SPM yang banyak cabarannya tetapi juga terlalu banyak penambahbaikan dibuat kepada pelaksanaannya,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)