Peperiksaan SPM 2023 berjalan lancar di seluruh negara

Peperiksaan SPM 2023 berjalan lancar di seluruh negara

KUALA LUMPUR,. Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bermula hari ini melibatkan 395,870 calon di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara berjalan lancar termasuk di negeri terjejas banjir iaitu Pahang dan Terengganu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan Azman Adnan berkata tiada sebarang isu berhubung calon terjejas dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan dilaporkan setakat pagi ini.

“Setakat ini, perjalanan SPM di seluruh negara tidak ada masalah atau ada isu murid kita terjejas ke pusat peperiksaan walaupun ada kawasan tertentu di beberapa negeri masih dilanda banjir,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru, hari ini.

Mengulas situasi di JOHOR, Azman berkata sebanyak 18 sekolah menengah di Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak sedia diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi persediaan menghadapi banjir.

Beliau turut menjelaskan peperiksaan SPM di sekolah yang digunakan sebagai PPS, tidak akan terjejas dan tetap diteruskan seperti biasa di negeri itu yang melibatkan sebanyak 48,426 calon di 364 pusat di 301 sekolah.

Di PAHANG, sejumlah 20,271 calon menduduki peperiksaan SPM di 258 pusat peperiksaan seluruh negeri, yang turut melibatkan 2,184 petugas termasuk 274 sukarelawan peperiksaan yang dilantik dengan tiada pusat peperiksaan dilaporkan terjejas bencana banjir, menurut Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek.

Di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Jelani Sulong berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menggerakkan Op Payung sekiranya banjir melanda sekolah terlibat dengan peperiksaan itu, selain sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )