Perak bangunkan produk pelancongan sempena Pangkor Bebas Cukai, TMM 2020

Perak bangunkan produk pelancongan sempena Pangkor Bebas Cukai, TMM 2020

LUMUT,. Sejajar dengan pelaksanaan Pangkor Pulau Bebas Cukai dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, kerajaan negeri Perak akan terus menggiatkan usaha pembangunan produk-produk pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi mempergiatkan usaha promosi sektor pelancongan di Perak, tumpuan akan diberikan kepada pemasaran digital.

“Antaranya, pengenalan QR Code dan e-brochures, video penjenamaan Pride of Perak (POP), familiarisation trip untuk media dan vlogger antarabangsa.

“Juga, meningkatkan penggunaan pelbagai platform media sosial serta mewujudkan rakan-rakan strategik di kalangan agensi-agensi kerajaan lain, pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan,” katanya dalam ucapan sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2020 di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Antara produk pelancongan termasuk perpustakaan digital, pertunjukan cahaya dan bunyi di Padang Ipoh, menaiktaraf Lata Tebing Tinggi dan papan tanda di Selama, pintu gerbang kacang puteh di Ipoh, pagar kaca Gua Naga Mas di Kampar, Beting Beras Basah di Bagan Datoh, Galeri Pangkor dan memperluaskan perkhidmatan Bas HOHO ke kawasan pelancongan di Tambun, Gopeng dan Batu Gajah.

Ahmad Faizal yakin semua usaha itu akan menghasilkan limpahan ekonomi kepada rakyat, seterusnya memacu sektor pelancongan.

Menurutnya, untuk mencapai hasrat itu, kerajaan negeri memerlukan kerjasama erat semua pihak dalam merealisasikan potensi besar negeri Perak sebagai hub sektor pelancongan utama.

Beliau yakin, kedatangan pelancong antarabangsa ke Perak akan terus meningkat berbanding 291,253 pengunjung pada 2018 yang mencatatkan peningkatan hampir sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.

BACA: Pangkor pulau bebas cukai: Pastikan rakyat tidak jadi Lebai Malang – Sultan Nazrin

BACA: RM10 juta persiapan jadikan Pangkor pulau bebas cukai

Di samping itu, katanya, Perak juga berjaya mengekalkan kedudukan tiga negeri tertinggi menerima pelancong domestik dengan kehadiran seramai 7.6 juta pengunjung pada 2018.

“Kita juga berjaya mencatatkan peningkatan penginapan hotel atau hotel guests sebanyak 6.26 peratus dalam tempoh yang sama,” ujarnya.

Mengenai Pangkor Pulau Bebas Cukai, beliau memberitahu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka mencemar duli menghadiri majlis pengisytiharan yang akan berlangsung pada tarikh yang akan ditetapkan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)