
Perak FC ikat tiga pemain baharu
IPOH,. Perak FC mengikat tiga pemain baharu terdiri daripada dua pemain tempatan dan seorang pemain import kuota ASEAN bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2021 yang dijangka berlangsung, mulai 26 Feb depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dua pemain tempatan itu adalah bekas penjaga gol Kedah Muhammad Azri Ab Ghani dan bekas pemain pertahanan UiTM FC Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham manakala tonggak import ialah pemain pertahanan kebangsaan Singapura Muhammad Shakir Hamzah.
“Kemasukan mereka ke dalam pasukan sememangnya memberikan tonik tambahan dan mampu memberi nilai tambah ke dalam skuad Perak yang mengekalkan sebilangan besar skuad sedia ada pada musim lalu.
“Kita juga harapkan ketiga-tiga pemain ini akan dapat membantu pasukan terutama dalam menghadapi cabaran dalam kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Perak FC 2021 di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini malam tadi.
Selain itu, beliau berkata Perak FC juga kemungkinan akan membawa masuk dua pemain termasuk seorang penyerang import kuota Asia bagi mengisi kekosongan selepas bekas penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berhijrah ke Selangor.
“Setakat ini, identiti pemain import kita belum boleh dedahkan, cuma apa yang boleh dikongsikan kita sedang menilai seorang pemain dari Timur Tengah dan Korea Selatan,” katanya.
Selain itu, katanya tujuh pemain daripada skuad musim lalu tidak lagi bersama pasukan antaranya Shahrel Fikri, Mohamad Hafiz Ramdan, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Khairul Amri Salehuddin, K. Sathiya, Antony Golec dan Chanthacheary Bin.
“Kita ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka selama berada dalam pasukan dan kita juga ucapkan selamat maju jaya bersama pasukan baharu yang disertai mereka,” katanya.
Mengulas perkembangan Perak FC II yang beraksi di Liga Premier, Ahmad Faizal berkata skuad itu akan dikendalikan oleh bekas Pengarah Teknikal PAFA Syamsul Saad bagi menggantikan pengendali musim lalu, Abu Bakar Fadzim.
Katanya, 11 pemain daripada skuad Piala Presiden Perak telah dikenal pasti akan diserapkan ke dalam pasukan manakala pemilihan baki pemain akan ditentukan oleh ketua jurulatih.
“Untuk makluman, pasukan ini juga akan hanya menggunakan dua tonggak import. Ini kerana, kita ingin mewujudkan lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi dan mengisi sebarang keperluan pasukan Perak FC sekiranya berlaku kecederaan, penggantungan atau prestasi di bawah tahap sebenar,” katanya.
— BERNAMA