Perak larang masjid dan surau jadi platform politik

Perak larang masjid dan surau jadi platform politik

IPOH,. Kerajaan Perak melarang penggunaan masjid dan surau di negeri ini untuk sebarang aktiviti atau program yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik, tegas Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri tidak menentang sebarang kempen yang dijalankan oleh mana-mana badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam premis-premis kerajaan selagi aktiviti itu selari dengan dasar dan polisi kerajaan.

“Dalam konteks masjid dan surau; selain daripada di atas, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh parti-parti politik atau pihak-pihak lain yang didalangi oleh parti-parti politik adalah dilarang sama sekali.

“Kerajaan juga tidak mahu terlibat dengan kempen-kempen yang tidak selari dengan dasar dan polisi kerajaan yang sedang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Sabtu lalu Asmuni dilaporkan berkata kerajaan Perak tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan kempen ‘Utamakan Beli Produk Muslim’ atau Buy Muslim First (BMF) di masjid seluruh Perak.

Beliau dilaporkan turut meminta penjelasan lanjut daripada Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, yang didapati turut terlibat secara langsung dalam penganjuran kempen berkenaan.

Susulan kenyataan itu, pihak pembangkang mendakwa beliau beliau cuba mengheret institusi mufti ke dalam isu berkenaan.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Asmuni berkata pihak yang membuat tuduhan itu perlu melihat siapa dalang di sebalik pelancaran kempen BMF peringkat masjid di negeri Perak di Masjid An-Nur Baru 8, Ulu Kinta minggu lalu yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah Perak (Ummah).

“Siapa sebenarnya yang melibatkan institusi mufti dalam urusan ini. Tanya balik UMNO dan PAS. Dalam konteks Perak, kita boleh tahu siapa di sebalik NGO itu, siapa individu-individunya? Semua pemimpin politik,” katanya.

Semalam, UMNO Perak dan PAS Perak dalam satu kenyataan bersama berkata walaupun pertemuan itu dibatalkan, namun tindakan Asmuni dianggap seolah-olah cuba mencabar kedudukan dan meredah-rendahkan institusi mufti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)