Perak peruntuk RM10 juta untuk rumah ibadat bukan Islam

Perak peruntuk RM10 juta untuk rumah ibadat bukan Islam

IPOH,. Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi tujuan penambahbaikan, penyelenggaraan dan membina rumah ibadat bukan Islam yang baharu, di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Belanjawan Perak 2020 itu turut meliputi aktiviti hal ehwal bukan Islam untuk masyarakat bukan Islam di negeri ini.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi, kemakmuran sosial dan keharmonian antara agama dan bangsa yang dinikmati oleh rakyat Malaysia di Perak ini, kekal terpelihara.

“Jika kita ada kekurangan, saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian, marilah bersama-sama menggembleng tenaga agar kita sebagai kerajaan dan masyarakat saling melengkapi untuk kemajuan negeri Perak yang kita sayangi ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Krismas 2019 Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di Ipoh, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penasihat Khas Menteri Besar Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata sebagai sebuah negeri yang bermasyarakat majmuk, tiada yang lebih berharga daripada melihat keharmonian masyarakat negeri ini kekal terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham bersama kira-kira 5,000 masyarakat pelbagai kaum turut hadir memeriahkan sambutan tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )