Perak tumbang di Shah Alam, Kedah berdepan Pahang di separuh akhir

Perak tumbang di Shah Alam, Kedah berdepan Pahang di separuh akhir

SHAH ALAM,. Pemain tengah, Khyril Muhymeen Zambri muncul wira Selangor apabila dua jaringannya berjaya membawa skuad Red Giant ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perak 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Selangor menyingkirkan Perak yang merupakan juara bertahan dengan keputusan agregat 3-2 dan bakal berdepan juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dua gol dijaringkan Khyril Muhymeen hadir pada minit ke-45 dan minit ke-67 selepas Mohd Syazwan Zainon meletakkan skuad kendalian ketua jurulatih, B.Sathianathan di depan menerusi gol pembukaan pada minit ke-33.

Skuad The Bos Gaurus yang tertekan cuba bangkit di separuh masa kedua permainan dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan tuan rumah, namun berjaya meledak hanya satu gol pada minit ke-83 menerusi pemain kebangsaan, Brendan Gan.

Juara 2016, Kedah melakar kemenangan bergaya di laman sendiri menewaskan PKNP FC 4-1 pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mengesahkan tempat di saingan separuh akhir dengan keputusan agregat 6-2.

Skuad Lang Merah membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-24 diikuti gol kedua Kedah hasil penyudah penyerang import dari Argentina Jonathan Jesus Bauman seminit kemudian.

Pemain tengah, David Rowley meledak gol ketiga Kedah pada minit ke-71 sebelum Mukhairi Ajmal Mahadi mengurangkan defisit jaringan buat PKNP FC pada minit ke-80, namun Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin melengkapkan malam gemilang Kedah menerusi gol keempat pada minit ke-90.

Menanti Kedah di separuh akhir adalah juara sebanyak empat kali, Pahang yang menewaskan Melaka 3-1 sekali gus mencatat kemenangan

agregat 6-1 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pasukan Kedah berjaya mara ke separuh akhir pertama selepas menang menewaskan PKNP FC dengan jaringan 4-1 pada perlawanan suku akhir ke-2 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.

Pahang terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk memecah kebuntuan menerusi penyerang kelahiran Namibia, Lazarus Kaimbi sebelum Mohd Nazrin Mohd Nawi menyamakan kedudukan buat Melaka pada minit ke-54.

Penyerang import sensasi Pahang, Dickson Nwakaeme menjadi wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan minit ke-76 sekali gus mengubat kekecewaan gagal mara ke separuh akhir musim lalu selepas kecundang di tangan JDT.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )