Perak tumbang kepada Melaka di laman sendiri

Perak tumbang kepada Melaka di laman sendiri

IPOH,. Perak FC terus dirundung malang apabila tumpas 0-1 di tangan Melaka United FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Tuan rumah hampir mendahului lawan pada minit ketiga, namun percubaan yang dilakukan Mohamad Izzuddin Roslan daripada dalam kotak penalti berjaya dihalang oleh penjaga gol, Norazlan Razali.

Berselang tujuh minit, Perak sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk menembusi gawang gol lawan namun ia disia-siakan penyerang mereka, Guilherme De Paula walaupun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan Norazlan.

Melaka yang dibimbing Zainal Abidin Hassan cuba mengimbangi asakan Perak, namun rembatan kencang dilakukan Ahmad Syamim Yahya daripada luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol, Muhammad Azri Ghani.

Bersambung aksi di babak kedua, Melaka hampir memecah kebuntuan pada minit ke-55, namun tandukan yang dilakukan pemain pertahanan import dari Korea Selatan, Sukwon berpunca daripada satu sepakan percuma hanya singgah di palang gol Perak meskipun Muhammad Azri sudah tertewas.

Melaka akhirnya berjaya mendahului Perak 1-0 pada minit ke-60, menerusi jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria yang mudah menolak masuk hantaran silang dilakukan penyerang import dari Montengero, Stefan Nikolic.

Perak cuba menyamakan kedudukan pada minit ke-75 namun percubaan ‘sepakan gunting’ yang dilakukan oleh pemain import, Leandro Dos Santos daripada dalam kotak penalti berjaya didakap kemas oleh Norazlan.

Kedua-dua pasukan terus melakukan asakan ke kubu lawan masing-masing namun keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )