Peralihan ekonomi internet kepada masyarakat digital satu cabaran buat ASEAN

Peralihan ekonomi internet kepada masyarakat digital satu cabaran buat ASEAN

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR,. Peralihan ekonomi Internet kepada masyarakat digital sepenuhnya dalam kalangan anggota ASEAN banyak bergantung kepada perkembangan rangkaian saling sambung dan keupayaan menggandingkan satu sistem dengan sistem yang lain di setiap negara anggota, kata Pengarah dan Ketua Pegawai Aplikasi e-hailing tempatan GOJO, Pradeep Kumar.

“Mengaktifkan peralihan daripada ekonomi Internet kepada masyarakat digital sepenuhnya suatu cabaran bagi semua negara ASEAN, dan sangat bergantung kepada dua faktor.

“Pertama, sejauh mana hubungan antara jaringan dapat meningkatkan skala ekonomi; dan luasnya platform jaringan saling operasi dapat meningkatkan ruang lingkup ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihak kerajaan boleh memperkenalkan langkah bersepadu untuk menggalakkan dan mempercepat peralihan daripada penyambungan asas akses Internet ke arah ekonomi digital yang saling berkaitan.

Katanya, setiap anggota ASEAN perlu mengetahui kemahuan serta keperluan rakyat mereka dan menyesuaikan akses Internet dengan rancangan ekonomi digital.

Pihak pemerintah perlu memperkenalkan dasar merapatkan jurang digital antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menetapkan matlamat pembangunan ekonomi digital secara menyeluruh yang menguntungkan semua pihak.

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memastikan infrastruktur digital yang berpatutan dan berkualiti tinggi, proses akhir digitalisasi lebih canggih, melibatkan PKS dengan inisiatif dan insentif, dan memperluas insentif digitalisasi kepada semua PKS yang berminat.

Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dari 18-22 Jan menerusi sidang video.

Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama ASEAN ke arah membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

ASEAN, ditubuhkan pada 1967, merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)