Perang COVID-19: Bagaimana pengetahuan mengenai kewangan dapat membantu dalam norma baharu
KUALA LUMPUR, 26 April — Pada bulan ini, ramai rakyat Malaysia yang layak untuk mendapat Bantuan Prihatin Nasional daripada kerajaan mula menerima bantuan kewangan yang amat diperlukan itu, dan ramai juga yang menarik nafas lega berikutan penangguhan ke atas pembayaran pinjaman.
Beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), seperti program subsidi upah serta i-Lestari dan e-CAP Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut membantu meringankan beban kewangan majikan dan pekerja.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini boleh bermakna rakyat Malaysia dapat berjimat, dan, jika dana itu digunakan dengan bijak, mereka sebenarnya dapat memanfaatkan bantuan kewangan ini untuk menjadikannya sesuatu yang baik dan lebih bermakna untuk mereka dan keluarga mereka.
Bagaimanapun, ini memerlukan pengetahuan mengenai kewangan, sesuatu yang mereka perlu fikirkan untuk membantu mereka melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghadapi cabaran selepas COVID-19 pada masa depan, terutamanya bagi mereka yang berisiko untuk kehilangan pekerjaan atau mendapat potongan gaji daripada majikan.
Menurut KWSP, sebanyak 71.4 peratus daripada ahli yang bekerja sendiri mempunyai simpanan kurang daripada satu bulan dalam akaun KWSP mereka, manakala 82.7 peratus daripada pekerja sektor swasta hanya menyimpan cukup untuk menyara diri mereka dalam tempoh kurang daripada dua bulan.
Membuat Analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman)
Pengurus Besar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria berkata tempoh sukar ini menggesa rakyat untuk mengenal pasti kemahiran diri yang mereka dapat memanfaatkan dan menjana lebih banyak pendapatan apabila pandemik COVID-19 berakhir.
“Misalnya, mereka yang mempunyai minat untuk memasak boleh mempertimbangkannya untuk menjana pendapatan tambahan melalui pelbagai aplikasi penghantaran makanan dalam talian.
“Jika mereka tidak mengetahui di mana dan bagaimana untuk mula menyusun semula kedudukan kewangan mereka, mereka boleh merujuk kepada kami dan kami akan membantu mereka untuk mendapatkan penyelesaian yang tepat,” katanya kepada Bernama.
AKPK merupakan agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu individu mengawal situasi kewangan mereka melalui khidmat nasihat dan kaunseling kewangan, program pengurusan hutang dan pendidikan kewangan.
Nor Fazleen berkata matlamat agensi itu ialah melengkapi individu dengan pengetahuan mengenai kewangan supaya mereka dapat mengurus wang mereka dengan bijak dan mencapai matlamat kewangan mereka, membawa kepada perubahan gaya hidup yang positif.
Menurut beliau, mereka yang dalam kategori M40 yang mungkin tidak terjejas dengan ketara oleh pandemik tersebut boleh menggunakan bantuan kewangan itu untuk menyelesaikan hutang kad kredit mereka dan bebas daripada hutang selepas PKP.
“Tetapi, sudah tentu, mereka perlu cukup berdisiplin untuk memantau perbelanjaan mereka dan tidak memohon kad kredit baharu,” katanya.
Katanya agensi ini bersedia untuk membantu mereka yang terjejas berikutan potongan gaji atau pemberhentian pekerja, iaitu mereka boleh menghubungi AKPK dengan mengisi borang pertanyaan dalam talian dan menunggu satu hingga dua hari untuk kaunselor AKPK menghubungi mereka.
Nor Fazleen berkata berikutan PKP, mereka boleh menghubungi agensi melalui platform digitalnya di https://www.akpk.org.my, sambil menambah AKPK secara agresif berinteraksi dengan orang ramai melalui saluran media sosial untuk menyebarkan maklumat dan mewujudkan kesedaran melalui perbincangan secara langsung dalam talian setiap minggu.
Mendapatkan nasihat kewangan bukan lagi stigma bagi rakyat Malaysia
Nor Fazleen berkata rakyat Malaysia semakin menyedari mengenai kepentingan pendidikan kewangan hari ini, dan ini dapat dilihat daripada jumlah mereka yang beralih kepada program pengurusan hutang (DMP) AKPK.
“Jika kita melihat kepada trend selama ini, ia sebenarnya meningkat; kami telah mencapai paras satu juta dari segi perundingan kewangan kepada pelanggan kami, dan seramai 313,000 orang telah mendaftar dalam DMP sehingga Februari 2020.
“Tiada lagi stigma berkaitan mendapatkan kaunseling berikutan mereka mahu menyelesaikan masalah mereka sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan statistik DMP sehingga akhir Februari 2020, sebanyak 12.3 peratus daripada pelanggan dilaporkan mereka perlu menyusun semula hutang mereka disebabkan perniagaan gagal atau lembap, dan 8.8 peratus dilaporkan mereka kehilangan pekerjaan atau diberhentikan.
AKPK menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk membantu pekerja dan pemilik perniagaan yang mengalami masalah kewangan, seperti perkhidmatan kaunseling dan kajian kewangan, DMP, modul pendidikan kewangan, perkhidmatan Perkiraan Sukarela (VA) untuk menyelamatkan potensi muflis dan program Perubahan Gaya Hidup.
Sebanyak 70.5 peratus daripada pelanggan AKPK berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, 15.3 peratus antara RM4,000 dan RM8,000 sebulan, dan 14.2 peratus lebih daripada RM8,000 sebulan.
Menyesuaikan kepada norma baharu
Pengarah Program Psikologi di Pusat Pengajian Seni Liberal dan Sains Universiti Taylor’s Prof Madya Dr Anasuya Jegathevi Jegathesan berkata lazimnya, isu kesihatan mental cenderung untuk meningkat semasa krisis ekonomi.
“Bagaimanapun, mereka akan dapat mengatasinya dengan mengubah gaya hidup mereka. Ini bukan mengenai berapa banyak yang anda dapat tetapi bagaimana perbelanjaan anda. Oleh itu, rancang perbelanjaan anda dengan baik. Bertanggungjawab kepada kewangan anda,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kepada keluarga untuk melakukan aktiviti seperti berkebun, di mana mereka boleh mengubah kebun mereka kepada kebun sayur-sayuran yang dapat membantu menjimatkan kos pemasaran.
“Kita boleh menjadi lebih kuat jika kita bekerjasama. Semasa Perang Dunia Kedua, semua bangsa bekerjasama untuk menyokong antara satu sama lain.
“Saya masih ingat datuk dan nenek saya pernah mempunyai almari yang besar, tempat mereka menyimpan beras dan barang-barang lain, tetapi jika anda menolaknya, di belakangnya mempunyai ruang dan jiran-jiran pernah datang dan bersembunyi semasa penjajahan Jepun.
“Inilah yang menjadikan Malaysia, Malaysia. Semasa tempoh krisis ini, kita perlu bersatu dan menyokong antara satu sama lain untuk memastikan kita kuat dari segi fizikal, kewangan dan mental,” katanya.
Berhati-hati dengan sindiket penipuan
Sementara itu, kerajaan menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati dan berwaspada dengan sindiket penipuan yang mengambil kesempatan daripada pandemik COVID-19 dan bantuan kerajaan yang berkaitan.
Sejak PKP dikuat kuasakan, polis telah membuka 393 kertas siasatan (IP) dengan jumlah kerugian yang ditanggung mencecah RM3 juta sehingga 25 Mac.
“Sindiket penipuan telah mula membuat pelbagai ‘tawaran’ di platform media sosial apabila kerajaan mengumumkan kepada orang ramai bahawa mereka boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka.
“Mereka menipu mangsa supaya menyerahkan kad pengenalan dan butiran akaun bank mereka dengan alasan untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan KWSP mereka,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
Begitu juga, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengingatkan orang ramai supaya berwaspada mengenai mana-mana individu atau entiti yang cuba memerangkap mereka untuk melabur dalam skim pelaburan haram.
Pengawal selia pasaran modal turut memberi amaran kepada orang ramai mengenai melabur dalam pertukaran aset digital (DAX) yang tidak dibenarkan dan beroperasi di Malaysia, berikutan peningkatan jumlah pertanyaan dan aduan yang diterima.
— BERNAMA