Peraturan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak binaan diperluas

Peraturan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak binaan diperluas

KUALA LUMPUR,. Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan satu perundangan atau peraturan khusus, dengan memperluaskan tanggungjawab di tapak pembinaan bukan hanya kepada pihak kontraktor, tetapi juga terhadap pemaju dan pereka bentuk.

Menterinya M Kula Segaran berkata, mengikut peraturan sedia ada keselamatan dan kesihatan pekerja, dibebankan sepenuhnya kepada pihak kontraktor.
“Sepatutnya ada peraturan yang lebih ketat, Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (DOSH) telahpun menghantarnya (peraturan) kepada Jabatan Peguam Negara.

“Pada masa ini, hanya kontraktor dipertanggungjawabkan, jadi kami mahu memperluaskan untuk memasukkan kontraktor, pereka dan pemaju, kerana mereka sebahagian daripada kumpulan tersebut.
“Kita mahu mereka juga bertanggungjawab, jadi mereka akan mengekalkan satu standard yang mereka tahu mereka perlu penuhi.

“Jadi, ia (peraturan) sepatutnya akan dapat semula pada bila-bila masa untuk saya wartakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak insiden runtuhan sebahagian kondominium di Taman Desa, pada Isnin.

Ketika ditanya sama ada pekerja yang tercedera ketika kejadian itu mempunyai permit kerja yang sah, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata pihak forensik di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga masih mengenal pasti punca utama runtuhan.

“Saya difahamkan pihak forensik akan melihat perkata itu, mereka akan ambil kesemua simen dan benda-benda lain, dron kitapun telah pergi ke beberapa tempat yang sukar untuk sampai, satu laporan sedang dibuat dan akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

Kula Segaran berkata sekiranya didapati terdapat kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pemaju, namun pada masa yang sama masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

Sebahagian struktur bangunan kondominium 37 tingkat di Taman Desa, Jalan Klang Lama runtuh, dalam kejadian pada petang Jumaat lepas menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kereta di tingkat enam, runtuh ketika hujan lebat pada 3.30 petang.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan pada 5.15 petang serta 9.40 malam dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )