Perbincangan rangkaian 5G masih berjalan, tiada penyertaan setakat ini kerana RAO belum diterbitkan – DNB

KUALA LUMPUR,. Digital Nasional Bhd (DNB) menjelaskan perbincangan mengenai pelancaran 5G dengan penyedia telekomunikasi masih sedang berjalan dan tiada penyertaan setakat ini kerana Tawaran Akses Rujukan (RAO) belum lagi diterbitkan.

Penyedia tunggal perkhidmatan borong 5G negara itu menjangka RAO tersebut, yang diterbitkan mengikut Standard Akses Mandatori akan dimuktamadkan menjelang akhir November selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“DNB akan memulakan rundingan komersial dengan syarikat telekomunikasi (selepas memuktamadkan RAO). Oleh itu, kita hanya akan mendapat penyertaan daripada syarikat telekomunkasi selepas penerbitan RAO.

“Justeru adalah jelas bahawa DNB belum lagi mendapatkan sebarang penyertaan ataupun menjangkakan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) untuk menandatangani apa-apa sehingga selepas RAO diterbitkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

DNB memberi penjelasan demikian susulan artikel mengenai pelancaran 5G di Malaysia oleh Reuters baru-baru ini yang mendakwa belum ada satupun syarikat telekomunikasi yang bersetuju menggunakan rangkaian 5G kerajaan itu berikutan isu ketelusan dan harga.

“Reuters memilih untuk mengabaikan fakta yang diberikan dan malangnya sebaliknya mengemukakan pandangan yang tidak tepat dan berat sebelah,” katanya.

DNB berkata ia telah merangka RAO bagi perkhidmatan borong 5G dan mengongsikannya dengan MCMC serta pemain industri utama pada September bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.

Sejak itu ia telah mengadakan perbincangan dengan MCMC dan syarikat telekomunikasi untuk menyelaraskan terma dan syarat akhir.

DNB juga berkata ia telah berjaya mengendalikan integrasi percubaan Rangkaian Teras lima syarikat telekomunikasi kepada Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G.

Menjelaskan mengenai dakwaan berkaitan kos 5G yang tinggi kepada MNO, DNB percaya kos GB 5G syarikat itu, yang telah dimaklumkan kepada syarikat telekomunikasi, jauh lebih rendah berbanding kos untuk mewujudkan rangkaian mereka sendiri.

Ia menegaskan penambahan atau kos marginal bagi setiap GB 4G syarikat telekomunikasi ketika ini adalah sekurang-kurangnya RM0.50.

Syarikat itu juga menjelaskan bahawa harga saham semua syarikat telekomunikai tersenarai telah mengatasi prestasi Indeks Komposit KLSE sejak pengumuman pembentukan DNB untuk melancarkan 5G di Malaysia menerusi satu infrastruktur yang dikongsi bersama.

“Jelas sekali, para pelabur tidak percaya bahawa syarikat telekomunikasi akan berdepan kemerosotan nilai. Malahan, ada sebab mengapa kos rendah perkhidmatan 5G daripada DNB seharusnya membawa kepada pendapatan bersih yang lebih tinggi, jadi, secara logiknya, diterjemahkan kepada harga saham yang lebih tinggi bagi syarikat telekomunikasi ini,” katanya.

Sementara itu, DNB berkata kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif JENDELA untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan luar bandar yang mana MNO yang dipacu keuntungan gagal menyediakan liputan.

Ia berkata syarikat telekomunikasi mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus, manakala sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )