Perhimpunan Khas UMNO Bukan Demi Pertahankan Jawatan Presiden

Perhimpunan Khas UMNO Bukan Demi Pertahankan Jawatan Presiden

KUALA LUMUR – Pelaksanaan Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini bukan wayang untuk mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tegas beliau, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan hanyalah pemikiran sempit yang hanya berniat mahu menjatuhkan UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, perhimpunan itu semata-mata mahu meminda perlembagaan parti, sesuai dengan hasrat dan manifestasi suara akar umbi.

“Saya mendengar adanya suara-suara di kalangan kita, kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Presiden. Suka saya tegaskan, ia tidak benar dan saya sama sekali tidak ada langsung niat untuk berbuat demikian.

“Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Tegurnya sinis, pemimpin tertinggi parti yang tidak sehaluan perlu menyedari bahawa gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) adalah usul daripada majoriti bahagian UMNO di setiap negeri selepas Mesyuarat Perwakilan masing-masing.

“Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan.

“Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu. Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kestabilan menjadi agenda utama pelaksanaan pindaan perlembagaan UMNO kali ini kerana rakyat sudah tidak selesa terhadap percaturan pemimpin yang sering mencari suaka politik demi kepentingan diri serta kedudukan.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, agenda kestabilan politik yang ditawarkan kepada rakyat tidak membawa sebarang makna sekiranya UMNO sendiri berpecah, berpuak-puak dan berkelompok, hingga akhirnya merugikan parti tersebut.

“Kestabilan amat penting untuk kita pertahankan. Sejarah UMNO telah memperlihatkan bagaimana Perlembagaan dan peraturan parti, sentiasa melalui proses pindaan. Ia dilakukan agar sesuai dengan keadaan semasa, di samping untuk membendung masalah dalaman, yang boleh menjejaskan kedudukan parti secara keseluruhannya

“Jadikanlah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebagai sempadan dan pengajaran buat negara. Pakatan politik yang baharu muncul ketika itu, hanya indah khabar daripada rupa. Pepat di luar, rencong di dalam, kokok berdegar-degar ekor bergelumang najis. Rakyat ditipu hidup-hidup,” katanya.

– Getaran

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )