Perikatan Nasional Pulau Pinang perkukuh kerjasama hadapi PRU15

Perikatan Nasional Pulau Pinang perkukuh kerjasama hadapi PRU15

SEBERANG JAYA,. Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang akan menumpukan usaha mengukuhkan hubungan dalam kalangan parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, PN Pulau Pinang yang dibentuk dua bulan lepas dan kini mempunyai parti komponen baharu iaitu parti Gerakan, akan mengadakan mesyuarat bagi mengatur strategi PRU dalam masa terdekat.

Beliau berkata, persediaan jentera, kursus serta latihan berkaitan juga telah diadakan secara berperingkat dan ini akan diteruskan dengan menggabungkan pengalaman ketiga-tiga parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan dalam menguruskan jentera pilihan raya masing-masing.

Shabudin berkata, PN Pulau Pinang tidak menghadapi sebarang masalah bekerjasama dengan Pas sekalipun parti itu mempunyai jalinan kerjasama dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional.

“Hingga sekarang, Pas telah beri kerjasama yang baik dalam PN… secara undang-undang, Pas merupakan anggota PN dan juga menjawat portfolio penting dalam PN.

“Jadi saya rasa itu cukup beri keyakinan kepada PN untuk teruskan kerjasama dengan mengukuhkan parti-parti dalam gabungan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Universiti Sains Malaysia dan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit PenyelarasanPelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )