Perintah reman 22 suspek sindiket Macau Scam dilanjutkan tiga hari lagi

Perintah reman 22 suspek sindiket Macau Scam dilanjutkan tiga hari lagi

IPOH,. Perintah reman terhadap 22 individu yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan Macau Scam susulan serbuan ke atas sebuah rumah di sini pada 29 Dis lalu, bersambung hingga Selasa depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Hasbullah Abd Rahman berkata lanjutan tempoh reman selama tiga hari lagi itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Permohonan melanjutkan tempoh reman tersebut dibuat oleh polis selepas perintah reman selama empat hari membabitkan kesemua suspek tamat hari ini, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kesemua suspek termasuk tiga wanita yang berusia 20 hingga 46 tahun terbabit ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan pusat pangilan sindiket tersebut.

Dalam serbuan dari 7 pagi hingga 4 petang itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk tiga unit komputer riba, 47 telefon bimbit serta 37 set skrip. Turut dirampas dua buah kereta.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)